JIKA sebelum ini kasut rekaan jenama dari negara luar sering kali mendapat perhatian cukup luas daripada peminat kasut, kali ini seorang anak muda tempatan cuba ‘pecah’ tradisi itu dengan memperkenalkan jenama rekaannya sendiri, FRKL 21.
Ashhry Atan; 25, tampil dengan koleksi rekaan sepatunya menerusi jenama FRKL 21 yang kini boleh didapati menerusi butik fizikal pertamanya yang dibuka di Kota Damansara, Selangor.
Memulakan kerjayanya sebagai pereka kasut sejak tiga tahun lalu dan menjualnya menerusi laman Instagram @frkl21, Ashhry sama sekali tidak menjangkakan akan mendapat sambutan hangat daripada peminat kasut yang kini sudah menjadi antara pelanggan setianya.
“Bermula dengan jualan 100 pasang but, koleksi sulung itu habis dijual dalam masa sehari. Dari situ saya yakin kasut mempunyai kelompok peminatnya tersendiri.
“Di FRKL 21, kami memang terkenal dengan rekaan wedges yang laris setiap kali pelancaran koleksi terbaharunya. Walaupun ia didatangkan dengan tapak yang tebal tetapi ringan ketika digayakan.
“Kasut yang tidak selesa boleh menganggu mood si pemakai. Apatah lagi jika digayakan pada acara penting seperti majlis makan malam atau perkahwinan.
“Setiap rekaan yang dihasilkan akan melalui kawalan kualiti dari segi keseimbangan tapak dan keselesaan ketika menyarungkannya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butiknya, baru-baru ini.
Menurut Ashhry, dia merasa puas dapat ‘mencantikkan’ penampilan kaki pelanggannya yang mana kasut juga merupakan antara aksesori fesyen yang perlu diberi perhatian selain pakaian dan beg tangan.
“Saya merasa puas bila tengok pelanggan berasa gembira dan puas hati dengan kasut rekaan saya.
“Saya rasa keunikan yang terdapat pada kasut FRKL 21 ialah kerana kami menekankan penggunaan warna-warna terang agar lari daripada kebiasaan warna dull dalam pasaran,” kata anak jati Kota Tinggi ini lagi.
Selain wedges, kasut bertumit rendah dan tinggi sehingga mencecah tujuh inci yang sering menjadi pilihan bakal pengantin serta acara peragaan pentas turut dijual di premis miliknya.
Antara koleksi rekaannya selain but adalah sandal, sneakers untuk peminat fesyen lelaki yang diinspirasikan dari kreativitinya sendiri.
Setakat ini, FRKL 21 telah mengeluarkan kira-kira 20 koleksi seperti Juleeya, Hameeda, Sophea, Erica, Ashhton, Clara dan Lady Marmalade.
Didatangkan dengan rekaan yang cukup eksklusif dan elegan, harga yang ditawarkan di FRKL 21 juga sangat berpatutan iaitu bermula dari RM50 hingga RM199 menjadikannya jenama kasut mampu milik buat semua golongan peringkat usia dan latar belakang. – MYNEWSHUB.CC