KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima kunjungan bekas pemain Manchester United, Gary Neville dan Ryan Giggs semalam.
Laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) melaporkan, kedua-dua legenda bola sepak Inggeris tersebut mengunjungi pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam di Johor Bahru, Johor.
“Mereka turut berkesempatan bertemu dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Pelangi,” kata JST.
Menurut laman itu lagi, perjumpaan Gary Neville dan Ryan Giggs dengan Tunku Ismail adalah bagi memahami visi dan hala tuju bola sepak skuad JDT.
Kata laman Facebook itu, kedua-dua pemain turut bertukar-tukar pendapat mengenai pelbagai perkara berkaitan sukan bola sepak dengan baginda sendiri.
“Ternyata mereka berasa teruja dengan perancangan yang telah dilakukan untuk JDT,” kata JST. – MYNEWSHUB.CC