JAKARTA – Seorang guru sandaran sekolah rendah di Puncak Jaya, di kawasan Kampung Karubate Daerah Mulia di Papua maut ditembak oleh puak
bersenjata malam semalam.
Media dalam talian memetik jurucakap Polis Daerah Papua, Patrige Renwarin sebagai berkata, guru yang dikenali sebagai Yuni Yesra, 27, maut di tempat kejadian setelah ditembak pada bahagian muka dan peluru menembusi kepalanya.
Katanya ketika kejadian, guru itu dipercayai sedang membuat kerja sambilannya sebagai pembawa teksi motosikal atau dikenali sebagai “ojek” di negara ini.
Beliau berkata, polis menerima maklumat dari orang awam mengenai mayat seorang lelaki yang ditemui terbaring di atas jalan dan setelah tiba di tempat kejadian, polis mendapati mayat lelaki berkenaan lengkap berpakaian dan mempunyai kad pengenalan.
“Polis masih menyiasat kes tembakan itu dan percayai kelompok bersenjata itu telah tersalah sangka terhadap mangsa,” katanya.
Jenazah guru yang berasal dari Sulawesi Selatan itu telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum diterbangkan ke kampung halamannya di Makassar.
Papua adalah sebuah wilayah paling timur di Indonesia dan keadaan wilayah itu tidak begitu selamat untuk orang awam ekoran terdapat kelompok bersenjata yang aktif menentang pasukan keselamatan Indonesia.
Pada kejadian 22 Ogos lepas, seorang pembawa jentera berat di kawasan Lanny Jaya maut juga dipercayai ditembak oleh puak bersenjata itu. – BERNAMA