MUFTI Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menegur tingkah laku sesetengah netizen yang menyebarkan video dan gambar lembu ‘naik minyak’ sebelum disembelih sempena sambutan Aidiladha.
Menurutnya, umat Islam tidak sepatutnya menjadikan haiwan korban sebagai bahan lawak jenaka selain mengambil gambar haiwan korban dengan pelbagai ragamnya ketika hendak disembelih.
“Walaupun tiada dalil yang melarang, namun tidak wajar dilakukan kerana mungkin ada pihak lain yang menganggapnya sebagai perbuatan kejam.
“Di samping itu cara menyembelih yang tidak mengikut etika atau peraturan yang ditetapkan dalam syariat juga mungkin menambahkan lagi salah faham mengenai ibadat ini,” katanya dipetik Sinar Harian.
Susulan itu, Dr. Wan Salim menyeru umat Islam supaya tidak menjadikan viral gambar-gambar dan video haiwan korban dengan pelbagai ragamnya.
“Saya menyeru umat Islam supaya tidak memviral gambar gelagat haiwan korban kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapn negatif dalam kalangan masyarakat terutama individu yang ingin memburukkan imej Islam di mata dunia.
“Pada pandangan saya, tindakan ini amat mengecewakan dan jelas masyarakat kita suka berhibur sehingga berlebih-lebihan,” ujarnya seperti yang ditukil akhbar tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa ibadah korban harus dilaksanakan dengan serius, lebih-lebih lagi tujuannya ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sebelum ini, video dan gambar-gambar lembu korban ‘naik minyak’ dan mengamuk sebelum disembelih di Taman Desa Jaya, Terengganu menjadi viral di laman sosial.
Lebih 50 penduduk bertempiaran lari ketakutan apabila lembu itu menyerang sekumpulan pemuda yang turut serta dalam proses penyembelihan.
Lembu jantan seberat 100 kilogram itu beberapa kali menyondol seorang lelaki dalam kejadian pada pagi Aidiladha itu setelah tali yang mengikat lehernya terputus, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku. – MYNEWSHUB.CC