SINGAPURA – Ketika penduduk Singapura gembira tiada lagi masalah jerebu dari Indonesia, tanpa disedari mereka, kawasan perhentian bas di republik itu dikesan paling tinggi pencemaran udara.
Menurut laporan media tempatan, penumpang yang menunggu bas di lebih 4,000 buah hentian di seluruh republik itu menyedut udara mengandungi gas toksik jauh lebih berbahaya dibandingkan stesen tren bawah tanah MRT.
Paling mengejutkan sekumpulan penyelidik, penumpang terdedah menghirup partikel 2.5 kali ganda lebih banyak berbanding paras sekeliling dan pendedahan berpanjangan mungkin membawa kepada masalah-masalah kesihatan.
Demikian penemuan memeranjatkan pasukan diterajui Dr. Erik Velasco, pakar pencemaran udara dari Kumpulan Penyelidikan Singapura dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat, universiti terbaik di dunia.
Stesen penyiaran tempatan milik pemerintah, Channel NewsAsia melaporkan, pasukan khas tersebut juga terdiri daripada pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS), iaitu universiti terbaik di Asia dan ke-15 di peringkat dunia.
Selepas penemuan mereka disahkan dan diterbitkan secara rasmi pada Ogos lalu, mereka mendapati perhentian bas adalah kawasan utama pendedahan kepada partikel kecil daripada asap kotor ekzos ribuan kenderaan darat.
Partikel berkenaan kemudian meresap ke aliran darah serta boleh menyebabkan atau memburukkan lagi penyakit paru-paru atau kardiovaskular yang ada pada masa kini seperti barah paru-paru dan lelah, menurut mereka.
Kajian itu bermula pada 2011 serta diambil menggunakan sensor atau gajet pengesan mudah alih moden dalam tempoh dua tahun di lima perhentian bas di VivoCity, Little India, Bugis, One Raffles Quay dan kampus NUS.
Walaupun kesemua lima perhentian itu didapati tercemar, kekerapan kenaikan mendadak pencemaran tertinggi adalah di Bugis, disusuli VivoCity kerana terdapat lebih banyak penumpang dan trafik padat di kawasan tersebut.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sekitar 63 peratus perjalanan di Singapura ketika waktu sibuk adalah menggunakan pengangkutan awam dan daripada 7.7 juta perjalanan seharian, 49 peratus adalah bas.
Dianggarkan kira-kira 3.8 juta pengguna menaiki sejumlah 4,200 buah bas awam domestik pada setiap hari yang diuruskan oleh empat syarikat operator dan meliputi lebih 300 laluan perjalanan di seluruh Singapura.
Bagi mengurangkan pendedahan pencemaran terhadap para penumpang, pasukan kajian tersebut mengusulkan penyelesaian iaitu pemasangan kipas di perhentian bas untuk menghilangkan partikel toksik dan asap ekzos.
Mereka juga menasihati jutaan penumpang agar dapat mengurangkan masa menunggu lama di perhentian bas dengan memastikan jadual ketibaan bas terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah atau tempat bekerja.
Dalam jangka masa panjang, jika adanya trem dan bas elektrik mesra alam sekitar, ia dijangka dapat membantu mengurangkan paras pencemaran udara, menurut para pengkaji itu. -Â Agensi/Mynewshub.cc/HAA