SELEPAS lebih 12 tahun dilaporkan hilang dan mati di China, seorang pelajar kolej dipercayai ditemui dalam keadaan sihat malah memiliki keluarga sendiri di Korea Utara.
Yahoo News Japan pada Rabu lalu melaporkan, warga Amerika Syarikat (AS), David Sneddon yang kini menetap di ibu negara Korea Utara, Pyong bahkan sudah mempunyai isteri dan dua orang anak.
David dikatakan diculik perisik negara komunis itu bagi menjadi tutor Bahasa Inggeris kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un ketika bapanya, Kim Jong-ill masih lagi berkuasa pada waktu tersebut.
Dia yang merupakan pelajar Universiti Brigham Young di Utah, AS ini hilang ketika berusia 24 tahun selepas mengikuti aktiviti mendaki gunung di Tiger Leaping Geoge berdekatan Sungai Jinsha, China.
David disahkan oleh pihak polis China sebagai mati ketika mendaki gunung tersebut tetapi anehnya mayat mangsa tidak pula ditemui.
Ibu bapanya, Roy dan Kathlen tidak percaya berita kematian anaknya yang jatuh di sungai tersebut kerana mengetahui reputasi kerajaan Korea Utara yang sering menculik warga asing.
Mereka beranggapan, kejadian tersebut mungkin berlaku kerana anaknya fasih berbahasa Korea.
“Kami tahu dia masih hidup dan sebab itu kami terus berjuang,” katanya yang tidak pernah putus asa mendesak kerajaan AS untuk menyiasat kehilangan anak mereka.
Pihak berkuasa AS kini telah mencarkan operasi untuk mencari David, namun tiada bukti yang dapat menjawab persoalan kehilangan lelaki yang kini berusia 36 tahun itu. – MYNEWSHUB.CC