JOHOR BAHRU – Dua beranak ditemui mati dipercayai dibunuh dalam rumah mereka di Jalan Beladau 40, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mayat M Navamany, 56, dan anak perempuannya, S Thurga Devi, 16, ditemui dalam sebuah bilik dengan kesan kecederaan di tangan dan kaki.
Anak mangsa, S Perabakaran, 33, berkata kali terakhir dia menghubungi ibunya kira-kira jam 10 pagi untuk memaklumkan akan melawatnya kerana anak sulungnya yang berusia tiga tahun dijaga oleh ibunya.
Beliau yang tinggal berhampiran taman perumahan itu tiba ke rumah itu kira-kira jam 11 pagi dan terkejut apabila melihat pagar dan pintu rumah tidak berkunci sebelum mendengar anaknya menangis dari dalam rumah.
“Sebelum keluar rumah, saya menghubungi ibu kira-kira jam 10 pagi dan memaklumkan akan datang melawatnya dan anak perempuan saya berusia tiga tahun yang dijaga oleh ibu saya.
“Setiba di pekarangan rumah, saya terkejut melihat pagar dan pintu rumah tidak berkunci sebelum terdengar tangisan anak dari dalam rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Perabakaran berkata, dia kemudian memasuki rumah itu dan menemui anak perempuannya sedang menangis dalam sebuah bilik sebelum melihat ibu terbaring berlumuran darah di atas katil dengan kesan tompokan darah di lantai.
Katanya, adik bongsunya pula dilihat terbaring berhampiran katil di bilik berkenaan. “Saya kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis, berkata polis masih menjalankan siasatan kes dan mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat. – BHarian Online