TANJUNG MALIM – Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-18 sepatutnya menjadi hari yang menggembirakan buat mana-mana isteri apabila suami tercinta menerima Ijazah Doktor Kehormat.
Sebaliknya, Nazihah Che Ismail, 40, dengan penuh sebak menerima Ijazah Doktor Kehormat Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) bagi pihak Allahyarham suaminya Anwar Zakaria yang meninggal dunia, Mei 2015 akibat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
“Sepatutnya hari ini saya duduk di bahagian tempat duduk tetamu dan melihat sendiri suami menerima ijazah ini, tetapi sebaliknya. Saya terima takdir ini dengan tabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima ijazah itu daripada Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Nazihah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, Kuala Lipis berharap ketiga-tiga anaknya mengambil semangat ayah mereka yang berusaha walaupun berperang dengan penyakit.
Anwar yang juga pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang meninggalkan tiga anak berusia lima hingga 10 tahun.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Mohammad Faizol Mohamed Khan 23, berkata pembahagian masa antara pelajaran dengan aktiviti luar kelas merupakan rahsia kejayaannya.
“Malah peranan keluarga dan sahabat juga sangat penting bagi saya meneruskan agenda bagi menaikkan nama UPSI ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang menamatkan pengajian dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu).
Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah sama, Chan Weng Hong, 23, berbangga kerana dapat membuktikan anak peniaga nasi lemak boleh mencapai keputusan cemerlang.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk (Animasi) dari Rawang, Selangor itu, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah terÂtinggi tersebut kerana sasaran utamaÂnya hanya menamatkan pengajian dalam kelas pertama.
Jelas anak bongsu dari empat beradik itu, rahsia kejayaannya adalah pengurusan masa dan tidak menyiapkan sebarang tugasan pada saat-saat akhir.
“Saya dapati ramai kawan-kawan suka buat kerja ‘last minute’ dan sebenarnya ia sangat tidak bagus kerana anda boleh memperbaiki lagi bahagian mana yang salah jika anda siapkan kerja itu awal-awal,” katanya. – BERNAMA