Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Bila Pak Lebai ‘Hanyut’...

BARU sahaja kita dikejutkan dengan insiden dua artis dikir barat wanita yang menyanyi...

Anwar Tuntut Mahathir Perjelaskan...

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua...

“Saya Akan Bekerja 36...

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau kini bekerja...

Panas! Izzue Islam Suka...

TAK tahulah mana pula salahnya, suami isteri yang sah pamerkan kebahagiaan di ruang...

Isu Air Kelantan Cabar Keupayaan Pengusaha IKS, Penternak

KOTA BHARU – Masalah bekalan air bersih di Kelantan yang belum berkesudahan bukan sahaja memberi kesan besar kepada masyarakat umum tetapi turut mencabar keupayaan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri itu dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Pengusaha sebuah kilang kicap dan sos di Melor di sini, Halmehera Mat Salleh, 41, berkata isu air menyebabkan beliau berdepan kesulitan sejak mula mengeluarkan produk berkenaan tahun lepas.

“Tahun lepas bekalan air (yang dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd) sekejap ada sekejap tidak ada. Saya terpaksa membeli air bersih untuk memproses produk manakala untuk kerja-kerja pembersihan, saya menggunakan air perigi dari rumah jiran berdekatan kilang.

“Tahun ini, keadaan bertambah teruk apabila air bukan hanya sangat perlahan dan kerap terputus bahkan kuning dan berkarat. Sebahagian besar proses penyediaan bahan termasuk cili kering dan bawang kisar terpaksa dibuat di rumah sebelum dihantar ke kilang,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Menurut beliau sebagai pengusaha yang baru bertapak dalam dunia perniagaan, cabaran berdepan masalah bekalan air bersih amat memeritkan terutama apabila mendapat permintaan luar jangka daripada pelanggan atau pemborong.

“Saya terpaksa menanggung kos membeli air bersih untuk memastikan kualiti dan kebersihan produk terjamin,” kata Halmehera.

Sehubungan itu, langkah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri baru-baru ini seolah memberi harapan baharu dalam usaha menangani isu bekalan air bersih di negeri itu.

“Kami amat berharap masalah bekalan air bersih ini dapat segera diatasi bukan hanya kepada usahawan seperti kami tetapi kepada seluruh rakyat Kelantan,” katanya.

Pada 14 Sept lepas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan memuktamadkan perjanjian tersebut melibatkan Perjanjian Utama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Kelantan, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Perjanjian Kemudahan antara PAAB dan AKSB dan Perjanjian Pajakan antara PAAB dan AKSB bagi mewujudkan industri perkhidmatan air yang mampan, yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta pengguna.

Rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan bermula sejak 2008 tanpa sebarang penyelesaian dan kemelut itu telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air, khususnya berkaitan kualiti dan kuantiti air di negeri itu.

Dengan penstrukturan tersebut, perihal pengurusan bekalan dan industri air diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Kelantan manakala kerajaan Persekutuan akan bertindak sebagai pengawal seperti diperuntukkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Melalui penstrukturan itu juga, AKSB akan memberi tumpuan kepada aspek operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air supaya lebih efisien dan efektif bagi menjamin bekalan air mencukupi, berkualiti dan berterusan kepada rakyat Kelantan.

Sementara itu, bagi penternak itik, Noor Hisyam Abd Aziz, 35, bekalan air bersih menjadi satu daripada perkara yang perlu dititikberatkan bagi menghasilkan haiwan ternakan yang baik.


“Menerusi perjanjian migrasi air tersebut, diharap sedikit sebanyak dapat membantu penternak di kawasan ini mendapatkan bekalan air yang sempurna terutama pada musim kemarau. Sebelum ini saya mendapatkan bekalan air dari telaga untuk diberi minum kepada kira-kira 3,000 itik yang saya pelihara.

“Bagaimanapun air telaga sering tidak mencukupi dan menyebabkan itik sering berebut-rebut untuk minum air, sekali gus menyebabkan risiko haiwan itu cedera dan boleh mengakibatkan kematian,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang ternakannya di Kampung Lubuk Angong, Tanah Merah.

Noor Hisyam berkata sumber dari air telaga itu juga tidak mencukupi bagi mengairi lima kolam yang dibina di ladangnya bagi memudahkan itik mendapatkan bekalan makanan organik.

“Kolam berkenaan berfungsi menjimatkan kos makanan kepada itik ternakan bagi mendapatkan makanan tambahan lain seperti siput dan hidupan akuatik,” katanya.

Seorang lagi penternak ayam Wan Salmi Samsudin, 30, berkata langkah yang diambil oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu amat penting bagi sektor penternakan sepertinya.

Wan Salmi berkata bekalan air berkualiti amat penting menyebabkan beliau terpaksa menggali telaga tiub dan menyediakan tangki air bagi memberi minum kepada ternakannya, selain turut digunakan untuk membersih reban sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

“Saya cukup risau terutama ketika menjelang musim kemarau kerana bekalan air dari telaga tiub akan berkurangan kerana cuaca panas.

“Jika bekalan air tidak mencukupi, ia akan meningkatkan kadar kematian ternakan sekali gus akan memberi kerugian kepada saya,” kata Wan Salmi.

Pengarah kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar pula menyifatkan bekalan tenaga dan air yang mencukupi dan berkualiti tinggi merupakan dua elemen penting untuk menarik pelaburan ke sesuatu kawasan.

“Saya percaya menerusi perjanjian ini, Kelantan dapat menarik lebih banyak pelabur untuk datang melabur di negeri ini pada masa akan datang,” katanya yang juga Anggota Jawatankuasa Kluster Pertanian dan Makanan Majlis Profesor Negara.

Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM12.4 bilion dari tahun 2007 sehingga Januari 2016 di Kelantan, sekali gus mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor untuk rakyat negeri itu. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori