“NAK jadi pemimpin kena berjiwa besar,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
“Kena konsisten dalam perjuangan dan paling penting sentiasa mendengar denyut nadi dan suara resah gelisah masyarakat,” pesan PM lagi.
Walaupun pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada PM, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim masih menyimpan pesona serta iktibar terhadap pesan PM.
Ini berlaku ketika Irnohizam berada bersebelahan PM menikmati jamuan makan malam ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Laos baru-baru ini.
“Kami duduk bersebelahan. PM berpesan panjang lebar dan terperinci. Sesuatu yang cepat melekat pada fikiran saya,” kata Irmohizam yang menyertai delegasi negara.
Kata Irmohizam, walaupun jauh di perantauan dan menghadiri sidang serantau, PM ternyata menjadikan sesi makan malam itu sebagai detik penting untuk memberikan nasihat kepada pemimpin muda.
Irmohizam meninggalkan jawatan di Pejabat Perdana Menteri setelah memenangi kerusi perlimen Kuasa Selangor pada PRU ke-13 lalu.
Selain bertanggungjawab di Dewan Rakyat, Irmohizam ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Presiden Majlis Belia Selangor.
“Ingat…,” kata PM: “Sentiasa kena berusaha menjaga dan menaikkan maruah UMNO. Nama baik Malaysia perlu terjulang selalu. Ini tugas kita semua.”
Walaupun hadir di Laos menyertai sidang ASEAN, peringatan PM mengenai soal negara dan parti menjadi kenangan penting kepada Irmohizam.
“Ini bukan peringatan klise. Ini peringatan yang realistik kerana UMNO dan negara kini berdepan rencam dugaan yang kompleks,” jelas Irmohizam. – MYNEWSHUB.CC