KUALA LUMPUR – “Jasa terakhir Allahyarham Datuk Haron Din adalah keberanian dan ketenangannya menerjang badai jahat yang melanda PAS dari dalam dan luar,” kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Kata beliau. jika tidak kerana ketenangan yang hebat daripada Mursyidul Am PAS itu, pasti parti berkenaan goncang dan sukar menghadapi kekalutan dan keributan dengan keyakinan dan istiqamah.
“Jika saya ditanya, apa yang paling istimewa saya perolehi saat berguru dan bersimpuh di sisi susuk gagah Allahyarham saya akan menjawab pada senyumnya, tenangnya, yakinnya dan harapannya yang hebat buat diri saya dan kami anak muda. Itulah hikmat kehidupan yang hilang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
PAS sejak disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) `diserang’ hebat oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.
Pelbagai tohmahan dilemparkan ke atas parti itu termasuk mengancam untuk menumbangkan PAS terlebih dahulu jika menjalin kerjasama dengan parti Melayu UMNO.
DAP dan PKR menyingkirkan PAS kerana keengganan parti itu tunduk kepada desakan supaya berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan bukan Islam ke atas pembangkang.
Provokasi Pakatan Harapan ke atas kepimpinan ulama PAS bertambah parah apabila seorang pemimpin DAP bertindak mempersendakan kematian Allahyarham Haron Din di media sosial baru-baru ini. – MYNEWSHUB.CC