KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan untuk membina 120 balai bomba baharu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata pembinaan balai bomba baharu amat penting dalam usaha membolehkan jabatan itu memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan pantas kepada rakyat.
“Setakat ini sudah ada 280 balai bomba di seluruh negara dan untuk menuju ke arah negara maju kami sasarkan lagi 120 balai bomba baharu dapat disediakan.
Jadi ini adalah sasaran kami kerana untuk menjadi negara maju, kita perlu memiliki sekurang-kurangnya 300 balai bomba di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kali Ke-19 Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.
Wan Mohd Nor berkata jumlah anggota bomba juga perlu ditambah sekiranya berlaku penambahan balai bomba baharu untuk memastikan perkhidmatan jabatan itu kepada rakyat sentiasa cekap dan berkesan.
“Tidak guna juga jika ada banyak balai bomba tetapi tidak ada anggota untuk berkhidmat,” katanya. – BERNAMA