KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal mempertahankan kelebihan satu gol pada babak pertama apabila seri 1-1 berdepan wakil Hong Kong, South China pada aksi suku akhir pertama Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Mongkok, Hong Kong, malam ini.
Pada aksi yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen swasta itu, skuad Harimau Selatan kendalian Mario Gomez mengasak pasukan tuan rumah sebaik sahaja pengadil dari Iraq, Ali Sabah Adday Al-Qaysi memulakan perlawanan.
Hasilnya, penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz menjaringkan gol pembukaan untuk JDT pada minit ke-21 setelah memanfaatkan keadaan kelam kabut dalam kawasan penalti South China.
Jaringan tersebut terus menyemarakkan semangat pemain JDT untuk memburu tambahan jaringan namun kekebalan benteng pertahanan pasukan tuan rumah menyaksikan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Kemasukan pemain antarabangsa Hong Kong, Chan Siu Kwan pada awal babak kedua perlawanan nyata memberi nafas kepada jentera serangan pasukan tuan rumah yang melancarkan serangan bertali arus ke kubu JDT.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila pemain import dari Serbia, Nikola Komazec menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri yang tepat menerjah penjuru kanan gol JDT dan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.
JDT dan South China akan bertemu pada aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 20 Septini.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu pada aksi suku akhir musim lepas yang menyaksikan JDT mencatat kemenangan agregat 4-2. – BERNAMA