JOHOR BAHRU – Tiga buah pesawat jenis Boeing 747 yang ‘ditinggalkan’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini kini bakal menjadi sekerap.
Milik sebuah syarikat yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), jet jumbo itu asalnya telah dibawa ke negeri ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk merancakkan penerbangan di rantau ini.
Walau bagaimanapun, dua pesawat kargo dan satu pesawat komersial itu langsung tidak pernah diterbangkan dan telah ditinggalkan terbiar di lapangan terbang selama kira-kira 10 tahun.
Pesawat yang bernilai kira-kira AS$30 juta (RM120 juta) setiap sebuah itu, semuanya kini hanya diselaputi kotoran dan jelaga.
Difahamkan pemilik pesawat tersebut malah berhutang kepada pihak lapangan terbang Senai lebih daripada RM1 juta bagi bayaran pakir.
Pegawai penerbangan berkata kes itu telah pun dibawa ke sebuah mahkamah baru-baru ini dan lapangan terbang berkenaan telah memenangi kes tersebut.
“Kami dimaklumkan bahawa pihak berkuasa lapangan terbang akan melelong pesawat sebagai sekerap,” kata seorang pegawai.
Satu posting di Facebook menunjukkan bahawa pesawat berkenaan ditawarkan untuk dijual pada harga RM5.3 juta setiap satu.
Ia juga menyatakan bahawa pesawat itu sudah berusia 30 tahun dan akan dijual sebagai sekerap.
Ditanya mengapa jet itu ditinggalkan, pegawai-pegawai berkata ia akan menelan kos yang tinggi untuk tujuan penyelenggaraan.
“Lagipun selama ini nilai tersebut telah menurun dan tanpa penyelenggaraan yang betul, saya tidak pasti sama ada DCA (Jabatan Penerbangan Awam) akan membenarkan ia terbang atau tidak,” kata mereka.
Sementara itu seorang pegawai DCA ketika dihubungi berkata, pesawat tersebut mungkin didaftarkan di negara asing.
“Kami memantau kira-kira 800 pesawat yang didaftarkan di Malaysia di seluruh negara dan terdapat hanya sekitar 747 pesawat pada masa ini digunakan sebagai pesawat sewa khas,” kata pegawai itu.
Ditanya sama ada DCA perlu dimaklumkan mengenai pesawat yang diletakkan di lapangan terbang untuk masa yang lama, pegawai itu berkata ia hanya membabitkan pemilik dan lapangan terbang.
“DCA perlu dimaklumkan apabila mereka merancang untuk terbang pesawat.
“Jika mereka mahu menukar pendaftaran Malaysia, maka ada garis panduan yang perlu dipenuhi,” kata pegawai itu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ketika dihubungi enggan mengulas mengenai status tiga pesawat tersebut.
Pada Disember tahun lepas, Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) mengeluarkan iklan menerusi akhbar untuk mencari pemilik yang ‘tidak dapat dikesan’ bagi tiga jet kargo Boeing 747-200F diletakkan di KLIA, Sepang untuk lebih daripada satu tahun.
Iklan berbunyi: “Jika anda gagal untuk menuntut pesawat dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini, kami mempunyai hak untuk menjual atau selainnya melupuskan pesawat ini di bawah peraturan-peraturan Malaysia.”
Berikutan penyiaran notis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Swift Air Cargo, Kapten Blue Peterson tampil untuk menjelaskan bahawa pesawat tersebut sebenarnya milik syarikat berkenaan. – mStar Online