KUALA LUMPUR – Juara remaja wanita dunia, Goh Jin Wei hanya selangkah daripada meraih gelaran antarabangsa keduanya tahun ini apabila mara ke final badminton Grand Prix Emas Masters Indonesia di Balikpapan, Kalimantan Timur, hari ini.
Pemain berusia 16 tahun dari Pulau Pinang itu yang menjuarai Kejohanan Antarabangsa Orleans di Perancis April lepas, menang 21-18, 21-5 ke atas pilihan kedua, Nitchaon Jindapol dari Thailand di separuh akhir.
Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia www.bwfbadminton.org, Jin Wei akan menentang rakan senegara Nitchaon, Busanan Ongbamrungphan di final selepas pilihan utama itu menewaskan seorang lagi pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong 16-21, 21-15, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Beregu campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke final selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Edi Subaktiar-Richi Puspita Dili 21-19, 21-15.
Namun kecemerlangan mereka gagal disambung Chooi Kah Ming-Low Juan Shen yang tewas 18-21, 21-15, 19-21 kepada Han Chengkai-Zhou Haodong dari China di separuh akhir beregu lelaki. – BERNAMA