BANGKOKÂ – Polis Thailand sedang berusaha mengenal pasti mayat dipotong beberapa bahagian yang ditemui dalam peti sejuk selepas menyerbu sebuah apartmen dan menahan dua rakyat Amerika Syarikat serta seorang rakyat Britain di sini, Jumaat lalu.
Seorang suspek melepaskan tembakan menyebabkan seorang anggota polis cedera ketika mahu menahan mereka.
AP melaporkan, jurucakap polis, Krisana Pattanacharoenm berkata hari ini, nama dan kerakyatan mayat berkenaan belum diketahui dan pakar forensik sedang berusaha mengenal pasti melalui bedah siasat digital serta ujian DNA.
Mayat berkenaan dipercayai lelaki berkulit putih dengan berambut perang.
Menurut Krisana, kediaman suspek diserbu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan memalsukan dokumen, termasuk pasport.
Bangkok Post melaporkan suspek yang ditahan dikenali sebagai James Douglas Eger, 66, dan Aaron Thomas Gabel, 33, kedua-duanya rakyat Amerika dan Peter Andrew Colter, 56, dari Britain.
Mereka kini menghadapi tuduhan melawan ketika ditahan, memiliki senjata api dan peluru secara haram, memalsukan dokumen rasmi dan menyembunyikan mayat. – Agensi/myMetro Online