MUNGKIN niat penulis dan penyanyi, Fynn Jamal berkongsi kisah bagaimana dia berkahwin dengan seorang budak penghantar makanan adalah untuk memperlihatkan bahawa wang dan darjat bukanlah segalanya dalam hidup ini.
Niatnya juga mahu wanita memilih pasangan hidup bukan atas dasar wang ringgit tetapi atas dasar kasih sayang agar kebahagian abadi wujud dalam hidup.
Namun, tidak beberapa lama selepas status berkenaan muncul dalam akaun sosial miliknya, segelintir netizen membawa tafsiran yang agak berlainan.
Nama Fynn Jamal mulai trending di Twitter selepas itu.
Pada asalnya, dia berkongsi kisah 8 tahun lepas di mana ketika itu dia adalah seorang pensyarah manakala bakal suami, Tri Hadzir hanyalah seorang jejaka yang berkerja menghantar makanan menggunakan motosikal.
“Dalam hati aku, boleh ke abah terima aku, seorang lecturer berkahwin dengan mat despatch untuk kedai keluarganya,” antara bait luahan yang dibuat.
Agak panjang lebar Fynn Jamal menulis mengenai kisah hidupnya dari sebelum berkahwin kepada selepas berkahwin dengan menceritakan semua kesukaran yang dilalui seperti kehilangan pekerjaan dan berkerja di kedai makan.
Berikut luahan penuhnya:
Kali pertama aku tanya dia tentang kerjanya, dengan laju dia jawab, “hantar makanan pergi rumah orang.”
Respon refleks aku:Â okay, asal kije.
Dalam hati aku: boleh ke abah terima aku, seorang lecturer, berkahwin dgn seorang mat despatch untuk kedai keluarganya?
Ketika itu kami belum lagi berjumpa. Baru beberapa hari berkenal2, wajah dia pun aku tak tau macammana – sempat je lagi untuk batalkan segalanya. Tapi entahlah, jodoh kuat barangkali.
Jadi bagi aku, kalau pun ada alasan untuk tidak meneruskan jumpa – ia bukanlah kerana kerjanya.
Aku tidak pernah ada masalah dengan jawatan. Abah aku sendiri bawa bas sekolah. Sambil bawa bas, dia jual2 jajan, aiskrim dan abc yang diparut sebelum memandu – diletak dalam bekas tahan sejuk – berniaga sambil memacu. Itu biasa, aku sendiri berdiri di sebelah dia membantu transaksinya.
“Apa sahaja asal boleh tambah rezeki. apa nak malu asalkan halal? bukan kita mencuri,” itu abah selalu kata.
Entahlah agaknya aku memang suka lelaki kerja2 fizikal. Aku suka melihat sabar dalam penat seorang manusia. Macam abang2 tukang kasut atau pakcik2 berkebun sayur, aku kagum dengan orang2 rajin atas dunia, sebab aku ini jenisnya perlahan, lekas penat dan kaki mencari jalan pintas.
Aku tak ada ketetapan hati utk sabar. Aku perlukan lelaki yang mampu didik aku jadi sabar.
Aku tak tau kenapa aku menulis tentang suamiku yang mat delivery itu haha. Mungkin kerana melihat dua, tiga menjak ini dia kembali bertenggek atas motor mengusung @susujuna ke sana ke mari buat aku rasa manis merindui dia yang aku setuju nikahi itu.
8 tahun sudah.
Aku nikahi dia dalam aku seorang pensyarah, dia seorang abang delivery. Aku yang berjaya, secara teori. Tapi lihat bagaimana الله aturkan, aku hilang pekerjaan berbulan2 tidak bekerja, dan dengan apa adanya suamikulah aku makan. Dari gaji ribu2 tiba2 ambil order di kedai makan. Tak pernah langsung ketika aku buat assignment di universiti dulu aku bayangkan itu prospek kerjaya aku haha.
Begitulah ilusinya wang, harta dan kuasa. Betapa pantas taqdir boleh flip.
But wallahi i was happy. Maklumlah tak bercinta terus kahwin. Suami mat delivery, kita awek amik order, bercinta kat kedai aje le kah!
Drama betul. Suamiku abang dispatch.
Ramai yang terharu dengan kisahnya itu dengan berkongsi sekali apa yang mereka pula lalui dalam hidup.
Antaranya:
“Kak Fynn, kita mula-mula kenal suami kat FB. Kita tanya dia kerja apa, selamba je jawab cleaner. Masa tu kita belum setahun keje gomen. Bukan pegawai pun. Penolong je heheh… Tapi memang jauh beza kita dengan husband. Dia SPM je. Kita ada degree. Tak tahu kenapa kita terima je dia. Kiorang kawen lepas 8 bulan kenal. 1st time jumpa lepas sebulan kenal. Dia terus jumpa ibu ayah kita. Sebab tu kot suka dia. Walaupun dia cleaner, time kawen dia tak pinjam satu sen duit pun dari orang lain. Semua duit hantaran dan kenduri dia pakai duit simpanan sendiri. Saya tabik spring kat husband walaupun cleaner tapi tiap bulan boleh menyimpan tanpa gagal. Gelang maskawen dia beli pakai dividen asb je. Tak kacau duit simpan. Nak harap kat orang rumah dia ni, madang tak cukup duit hahahaha…”
Lagi:
“Sama dengan saya.. Masa tu tengah study kat Universiti.. En. husband jual tiket bas ekspress oleh kerana dok ulang alik naik bas 1 hari dia tegur berkenalan dalam phone 2 bulan lepas tu nikah… and now dah 11 tahun berlalu say sekarang cuma suri rumah dan dengan kepercayaan setiap anak di kurniakan rezeki masing2, maka kami dah ada 3 org anak… Alhamdulillah semuanya rahsia Allah… Berkeluarga dengan jayanya… and anak2 juga membesar dengan jayanya… Syukur ya Allah atas segala2nya…”
Namun, segelintir netizen tidak dapat menerima luahan berkenaan atas beberapa faktor.
Secara umum, sebahagian mereka merasakan Fynn Jamal berfantasi dan tidak konsisten dengan kata-katanya.
“Drama melayu dah cukup mengarut. Tapi Fynn Jamal lagi mengarut.”
“Korang tak rasa Fynn Jamal ni ada mental disorder ke? Kejap cakap itu, kejap cakap ini.”
“So btul lah Fynn Jamal tu delusional? Hidup dalam fantasi?”
Di atas adalah antara beberapa komen yang terbit dari kalangan netizen.
Ada juga yang beranggapan Fynn Jamal secara tidak langsung telah merendahkan kedudukan suaminya dengan mendedahkan isu yang tidak perlu.
Inilah media sosial dan inilah ragam manusia.
Penulis sendiri tidak melihat apa yang salah dengan tindakan Fynn Jamal berkongsi sesuatu yang begitu positif kepada para peminatnya.
Namun, lain padang lain belalang lain orang lain ragam.
Perkara yang mudah menjadi sangat negatif di mata sesetengah pihak.
Pandangan peribadi penulis, biarlah apa pun yang Fynn Jamal atau mana-mana artis kongsikan, selagi tidak bertangan dengan asas-asas agama atau budaya, terimalah dengan hati yang terbuka. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: AK-47Â