SEPANG – Operasi penerbangan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 terkawal sekalipun ruang udara Kuala Lumpur ditutup sementara bagi kaji selidik udara selama empat hari bermula hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati para penumpang mendaftar masuk dan tiba di lapangan seperti biasa, manakala pada beberapa jam tertentu kaunter pendaftaran dan pintu ketibaan dilihat agak lengang susulan penjadualan semula waktu mendarat dan berlepas di KLIA dan KLIA2.
Menurut kenyataan Malaysia Airlines (MAS) minggu lalu, berikutan kaji selidik berkenaan penerbangannya yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur antara 26 dan 29 Sept telah dijadual semula.
Kenyataan syarikat penerbangan itu juga menyebut penutupan ruang udara itu membabitkan penerbangan tiba dan berlepas antara 11 pagi dan 11.59 pagi serta antara 2 petang dan 2.59 petang. – BERNAMA