ALANGKAH hancurnya hati apabila bayi yang dikandungkan selama sembilan bulan meninggal dunia disebabkan kecuaian daripada pihak hospital yang didakwa menjalankan kerja sambil lewa.
Seorang pengguna Facebook, Fiza Kamarudin berkongsi rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan doktor di Hospital Ampang kerana didakwanya cuai hingga menyebabkan bayi adiknya meninggal dunia, Khamis lalu.
Fiza menceritakan, adiknya yang dikenali sebagai Siti Norhazlinda sepatutnya bersalin pada 30 Ogos lalu tetapi usia kandungannya sudah melebihi dari tarikh jangkaan dan perlu dimasukkan ke dalam wad, semalam.
Tetapi doktor menyarankan dia pulang dan kembali sekiranya ada tanda seperti lendir dan darah, air ketuban pecah atau darah.
“Doktor hanya suruh adik saya pulang dan tunggu darah penuh satu tuala wanita atau air ketuban pecah baru datang balik,” katanya dalam tempoh itu adiknya berulang alik ke hospital sebanyak enam hingga tujuh kali.
Lebih dikesalkan apabila doktor mengarahkan adiknya pulang ke rumah walaupun ada sesuatu yang seperti tali pusat sudah keluar.
Selasa lalu, adiknya kembali ke hospital kerana sakit dan keluar lendir tetapi tetap disuruh pulang ke rumah kerana dikatakan itu adalah tanda kelahiran biasa dan bayi dilaporkan normal.
“Saya sudah mula rasa tidak kena kerana saya dahulu pun overdue tetapi bila ada bukaan 2 cm saya terus ditahan diwad! Tapi kenapa adik saya tidak walaupun tanda- tanda sudah ada?
“Bukankah sepatutnya dia dipantau? Saya juga tertanya-tanya adakah doktor yang bertugas tidak memeriksa degupan jantung bayi pada malam tersebut?” katanya.
Sekali lagi adiknya ke hospital pada Khamis lalu, namun menerima berita menyedihkan apabila tiada dengupan jantung pada bayi dalam kandungan.
“Di hospital, doktor pakar pula tertanya-tanya mengapa adik saya tidak dimasukkan ke wad lebih awal selepas dia datang ke PAC (Pusat Penilaian Pesakit) dan ada tanda-tanda bersalin ditunjukkan?” katanya.
Fiza berkata, doktor yang mengendalikan kes adiknya berada di hospital pada pagi kejadian tetapi menyerahkan kes itu kepada doktor lain kerana mungkin terkejut dengan berita kematian bayi pesakitnya.
“Ambil darah adik saya, tetapi tidak isi borang. Dan akhirnya doktor lain pula terpaksa ambil darah adik saya sekali lagi. Cuainya awak wahai doktor!” katanya.
Walaupun menerima kejadian itu dengan hati yang terbuka tetapi dia kesal dengan pengurusan hospital terutamanya di bahagian PAC yang sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan memberi keterangan mengenai kematian bayi adiknya.
“Kami mahu tahu bila bayi tersebut meninggal dunia? Sebab kematian? Kenapa adik saya disuruh pulang walaupun tanda-tanda bersalin dah ada? Bukankah dia sepatutnya dipantau kerana dia overdue? Saya tidak pasti doktor (yang bertugas kendalikan adik saya) sedar atau tidak tentang tanda-tanda sebelum kelahiran? Mahu tungguĂ‚Â ketuban pecah? Darah penuh pad?
“Saya sendiri, kedua-dua anak doktor yang pecahkan ketuban! Lendir bercampur darah yang keluar dari rahim adik saya dan kesakitan yang dia alami itu, bukaan salah satu dari tanda kelahiran?” katanya.
Perkongsian Fiza ini mendapat sokongan daripada netizen yang mahukan keadilan dan disarankan untuk membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. – MYNEWSHUB.CC