BEIJING – Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik-detik mencemaskan apabila badannya tersangkut di celah pintu di sebuah pasar raya di Shijiazhuang.
Jurucakap polis China berkata, kanak-kanak berusia dua tahun itu dilaporkan bermain bersendirian tanpa ditemani ibu bapanya di luar pasar raya berkenaan.
Secara tiba-tiba kanak-kanak itu cuba masuk ke celah pintu di hadapan pasar raya berkenaan tetapi tersangkut di bahagian badannya.
Ibu bapa kanak-kanak itu hanya menyedari keadaan anaknya selepas mendengar mangsa menangis.
Satu video yang dirakam pengunjung menunjukkan bapa kanak-kanak itu memegang kepala mangsa manakala ibunya memegang bahagian kaki.
Mereka berusaha melepaskan kanak-kanak itu tetapi gagal dan terpaksa menghubungi bomba untuk meminta bantuan.
Bomba yang tiba beberapa minit kemudian, menggunakan peralatan hidrolik untuk menolak pintu itu sebelum mengeluarkan kanak-kanak berkenaan.
Kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi terkejut dengan insiden itu. – Agensi/myMetro Online