PERSEDIAAN tiga peserta program hiburan realiti, Akademi Fantasi 2016 bagi menghadapi konsert pada minggu kelima malam Ahad lalu akhirnya ‘terkubur’ apabila disingkir sebelum persembahan bermula.
Tiga peserta disingkirkan iaitu Jasper (Jasper James Supayah), Riana (Isyariana Che Azmi) dan Emy (Zahrul Hilmi Badrul Hisam) diumumkan sebelum konsert bermula menjadi antara kejutan program realiti itu yang dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD jam 9 malam setiap Ahad.
Sebuah portal hiburan melaporkan ada pelajar yang terkilan apabila tidak dapat meneruskan persembahan walaupun persediaan selama seminggu telah dibuat.
Pelajar AF 2016, Riana mengakui kecewa apabila namanya disebut pada awal program sebagai pelajar tersingkir.
Dia menyifatkan penyingkiran pada awal konsert adalah tindakan ‘kejam’ kerana sudah banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk persembahan.
Bagaimanapun, dia menyifatkan penyingkirannya itu sebagai tiada rezeki untuk dia meneruskan perjalanan sebagai pelajar AF.
Sementara itu, Emy yang sebelum ini diserap masuk pada minggu ketiga selepas memenangi pertandingan JoHaRockstar mengakui ralat apabila namanya diumumkan sebagai antara pelajar tersingkir.
Dia mengakui undi yang diterimanya pasti agak rendah berbanding pelajar yang sedia ada kerana sudah mempunyai kelompok peminat sendiri.
Bagaimanapun, dia tidak menjadikan penyingkiran itu sebagai penamat kerjaya seni kerana ianya baru sahaja bermula. – MYNEWSHUB.CC