KUALA LUMPUR – Seorang kerani di Kementerian Pertahanan yang mencetuskan kemarahan orang ramai apabila menendang seorang wanita dua bulan lepas, mengaku bersalah bagi kesalahan sama, di sini hari ini.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas Marmi Zabrin Mian, 33, atas kesalahan menendang belakang Shakira Mohd Khalid, 28, setiausaha di Bukit Aman, tanpa sebab.
Kerani itu, dalam insiden sebelum ini, menendang seorang kakitangan Bank Negara di jambatan pejalan kaki berdekatan bangunan bank pusat itu. Perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup dan rakaman itu menjadi viral, mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen.
Marmi melakukan perbuatan terbaru itu di terowong pejalan kaki dari Jalan Cenderasari ke Dayabumi di sini pada 5.30 petang Selasa lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika merayu hukuman ringan, Marmi, yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan hukumannya kerana dirinya ‘penjawat awam’.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar menggesa mahkamah mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama dan ‘kamu tidak boleh menendang orang sesuka hati tanpa sebab’. – BERNAMA