MENGEJUTKAN apabila dua abang kepada adik beradik yang ditemui mati bersama bapa mereka di sebuah pangsapuri di Segambut, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan adik bongsu mereka sudah meninggal dunia tiga bulan lalu.
Perkara ini didedahkan dua adik beradik berusia enam dan lapan tahun kepada polis selepas dihantar ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak bagi mendapatkan maklumat mengenai kejadian serta keadaan keluarga mereka.
The Star melaporkan, adik beradik lelaki yang tidak didedahkan nama itu berkata, adik bongsu mereka, Cheah Kai Wen, 7 bulan sudah meninggal dunia sejak tiga bulan lalu selepas bapanya mencampakkan kerusi apabila adiknya menangis akibat tercekik susu.
Bayi malang itu ditemui tidak bernyawa pada keesokan harinya dan siasatan mendapati punca kematian disebabkan terkena bahan tumpul di kepala, namun polis masih menunggu keputusan ujian dari hospital.
“Kanak-kanak yang mati itu kemungkinan dimasukkan ke dalam plastik supaya tiada bau busuk dan rumah itu dipenuhi dengan bau colok,” katanya polis masih menjalankan siasatan punca kematian adik perempuan mereka Cheah Kai Sze, 3 tahun.
Polis tidak menolak kemungkinan bapa mangsa, Cheah Soon Hing, 34 yang ditemui mati di bilik tidur utama membuat keputusan untuk membunuh diri selepas membunuh dua anaknya di dalam rumah mereka di Taman Sri Sinar, Segambut.
Susulan kejadian itu, ibu kepada kanak-kanak malang ini ditahan reman lima hari untuk siasatan.
Siasatan mendapati, pasangan ini tidak bekerja dan ditanggung oleh bapa suaminya yang memiliki sebuah syarikat kewangan di Kuala Lumpur.
Wanita berusia 35 tahun itu masih dalam keadaan trauma ketika siasatan dan percaya apabila suaminya memberitahu dua anakna yang sudah meninggal dunia berada di rumah saudara terdekat apabila dia bertanya mengenai kehilangan dua daripada empat anaknya itu.
Difahamkan, mayat suaminya ditemui Ahad lalu dan mengarahkan dua anak lelakinya untuk tidur bersebelahan mayat kerana dia tidak mempunyai kredit untuk membuat panggilan telefon untuk memaklumkan mengenai kematian itu.
Munusamy berkata, wanita tersebut menghubungi syarikat yang mengendalikan pengebumian pada Isnin sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.
Kes ini masih dalam siasatan dan polis masih menunggu laporan daripada hospital untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian Isnin lalu, tiga beranak ditemui mati dalam sebuah rumah dipercayai dibunuh. Mayat ketiga-tiga dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MYNEWSHUB.CC