Sunday, November 24, 2024

Creating liberating content

Jemaah M’sia Mula Tiba...

Bumi Makkah akan mula dikunjungi jemaah haji Malaysia secara berperingkat bermula 8 malam,...

Pemuda UMNO Kutuk Insiden...

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mengutuk tindakan sekumpulan individu menyerang rombongan beberapa pimpinan...

1,000 Himpun Di Masjid...

KIRA-KIRA 1,000 orang berhimpun di Masjid Negara untuk membantah tindakan pihak yang menghina...

MAS Tawar Kadar Khas...

NEW DELHI - Malaysia Airlines bersama Tourism Malaysia sekali lagi menawarkan tambang dua...

Tahap Kesedaran Pengasingan Sisa Pepejal Meningkat

KUALA LUMPUR – Tahap kesedaran orang ramai dan rasa kebertanggungjawaban untuk melaksanakan pengasingan sisa pepejal dari punca (SAS) dilihat semakin positif sejak penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di lapan buah negeri setahun lalu.

Kini semakin ramai penduduk yang bersemangat dan menyokong pelaksanaan SAS serta membuat pelbagai inisiatif bagi menjayakannya, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Hazilah Gumri.

“Semakin banyak maklum balas positif diterima daripada penduduk. Mereka semakin memahami dan sedar akan keperluan pelaksanaan SAS terutamanya demi kelangsungan dan kelestarian alam sekitar.

“Malah pemeriksaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur mendapati ada penduduk yang membeli tong sampah tambahan dan ada yang melabelkan plastik bagi mengisi barangan kitar semula,” katanya kepada Bernama.

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dilaksanakan secara mandatori mulai 1 Sept tahun lepas di mana pemilik atau penyewa kediaman atau premis di negeri yang menerima pakai akta itu iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Johor boleh dikenakan tindakan kompaun sekiranya gagal mengasingkan sisa pepejal di punca.

Pencapaian negeri-negeri itu akan dijadikan penanda aras kepada hala tuju menjadikan Malaysia tersenarai antara 10 negara terbersih di dunia menjelang 2020.

Akta itu diperkenalkan untuk menyeragamkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar kitar semula dan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sedia ada, yang kini semakin kehabisan ruang.

Berdasarkan akta berkenaan, denda kompaun antara RM50 dan RM500 boleh dikenakan terhadap mereka yang enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal mengikut jenis iaitu bahan yang boleh dikitar semula, sisa baki, sisa pukal serta sisa kebun di tempat berasingan sementara menunggu hari kutipan yang ditetapkan SWCorp.

Penguatkuasaan sepenuhnya akta berkenaan dilaksanakan pada 1 Jun lepas.

NOTIS DAHULU

Mampukah rakyat Malaysia membudayakan SAS dalam kehidupan harian, sekali gus melonjakkan peratus kitar semula negara yang masih jauh ketinggalan berbanding negara maju?

Menurut Hazilah, kadar amalan kitar semula kebangsaan pada tahun lepas adalah kira-kira 17.5 peratus sahaja.

“Kadar kitar semula di negara Jepun sudah melebihi 90 peratus manakala Singapura dengan atas 50 peratus. Singapura mulakan amalan kitar semula sudah agak lama, manakala rakyat Jepun pula dididik sejak kecil lagi.

“Kerajaan berharap negara dapat mencapai kadar 22 peratus atau lebih menjelang 2020 atau lebih awal. Namun, sasaran itu hanya akan menjadi realiti sekiranya orang ramai memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Sejauhmanakah hasil penguatkuasaan langkah pengasingan sisa pepejal ini?

Menurut Hazilah, sebanyak 35 notis pemberitahuan kesalahan dikeluarkan di sekitar Kuala Lumpur, manakala tiada notis dikeluarkan di Putrajaya dalam pemeriksaan rawak oleh penguatkuasa dalam tempoh sebulan pelaksanaan kompaun itu.

“Kita tidak mengeluarkan kompaun secara langsung sebaliknya memberi notis sebelum kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwaraya undang-undang untuk tindakan lanjut sama ada dijustifikasikan untuk dikompaun atau tidak,” katanya.

Denda yang dikenakan bagi premis bertanah adalah RM50 bagi kesalahan pertama, RM100 (kesalahan kedua) dan RM500 (kesalahan ketiga), manakala bagi premis bertingkat pula masing-masing boleh dikenakan denda RM100, RM200 dan RM500. Bagi kesalahan kali keempat dan seterusnya, tindakan mahkamah akan diambil dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000.

TIDAK SUSAH

Hazilah menegaskan bahawa untuk menjayakan pelaksanaan SAS, ia memerlukan sambutan baik dan berterusan dan ‘kalau tidak dimulakan, negara yang akan terus tercemar’.


Mengakui tidak mudah untuk mendidik orang ramai, sementelah ada yang berasakan pengasingan sisa pepejal itu menyusahkan dan renyah untuk dilaksanakan, beliau berkata sememangnya perkara baharu akan mengambil masa untuk diamal dan dibudayakan.

Rakyat Malaysia sewajarnya memahami bahawa amalan SAS dapat mengelak bahan yang boleh dikitar semula terbuang tanpa memberi nilai tambah pada ekonomi negara, mengurangkan jumlah sampah dihantar ke tapak pelupusan, menjimatkan wang negara serta memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.

“Sebenarnya tidak susah kalau kita benar-benar prihatin dan ambil tahu betapa penting dan bermanfaatnya kepada generasi akan datang, saya percaya ada yang menyedarinya tetapi mungkin malas atau keliru. Tidak susah, apabila kita ada sampah, terus asingkan,” katanya.

Hazilah yakin masih ada ruang untuk rakyat Malaysia menerima perubahan dan berharap proses pembelajaran untuk mengasingkan sisa pepejal tidak mengambil masa terlalu lama dan satu masa nanti amalan itu akan menjadi tabiat setiap orang.

Proses SAS yang dikuatkuasakan di negara ini sebenarnya amat mudah dilakukan. Orang ramai hanya perlu mengasingkannya kepada tiga kategori iaitu kertas, plastik dan lain-lain yang boleh dikitar semula, berbanding negara lain yang mewajibkan pengasingan sisa hingga berbelas-belas kategori.

Kategori kertas termasuklah kertas A4, kotak, kadbod, poskad dan risalah, manakala plastik seperti botol minuman dan bekas makanan, botol syampu, baldi dan jenis plastik lain.

Bahan-bahan lain yang boleh dikitar semula termasuk kaca, seramik, tin, alatan dapur seperti sudu, periuk dan senduk, selain barang elektrik kecil seperti bateri, kalkulator, telefon bimbit, lampu dan cerek elektrik.

Bahan fabrik merangkumi kasut, getah atau kulit pada kasut, beg tangan, pakaian, sarung tangan dan sebagainya termasuk sisa berbahaya seperti bekas penyembur ubat nyamuk, tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut, bekas ubat anai-anai dan seumpamanya.

ASINGKAN SAHAJA

Hazilah berkata kerajaan tidak menyediakan tong sampah tambahan bagi setiap rumah di negeri-negeri yang terlibat kerana melibatkan kos yang terlampau tinggi.

Oleh sebab itu, SWCorp tidak menetapkan sebarang penggunaan tong khas atau warna beg plastik tertentu untuk tujuan itu.

“Buat masa ini kita berikan opsyen terbuka, pengguna boleh menggunakan apa jua beg plastik. Mereka boleh kreatif asalkan pengasingan dilakukan dan bahan yang boleh dikitar semula tidak dicampur dengan sisa makanan,” katanya.

Penghuni di premis bertingkat boleh meletakkan plastik yang berisi sisa pepejal di dalam tong sampah khas yang disediakan di setiap tingkat atau di dalam ‘sangkar’ khas kitar semula yang diletakkan di kawasan premis berkenaan.

“Struktur sangkar ini diperbuat daripada besi, berbumbung dan mempunyai tiga ruang untuk pengasingan. Ada yang sudah dihantar ke kondominium dan kawasan perumahan rakyat, sekiranya tidak ada, penghuni boleh letak di satu kawasan khas dan pastikan tidak dicampur dengan sisa makanan,” katanya.

Kegagalan penduduk rumah bertingkat melaksanakan pengasingan sisa pepejal, akan menyebabkan badan pengurusan bersama bangunan dikenakan notis kesalahan.

Sementara itu, surirumah Nurzaitul Alia Abidin, 36, mengakui pada mulanya beliau merungut dan keliru mengenai SAS kerana berasakan ia amat menyusahkan.

“Selepas membaca mengenainya melalui laman Internet, saya sedar ia tidaklah sesukar yang disangka, lalu mengambil pendekatan dengan menjual barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas dan tin minuman dan mendapat sedikit wang saku.

“Jika saya tidak ada masa untuk hantar ke vendor, saya asingkan dan masukkan ke dalam plastik lutsinar dan meletakkannya bersebelahan tong sampah supaya mudah dipungut oleh pekerja konsensi sekali gus menyumbang kepada kelestarian kitar semula,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori