PELAKON dan pelawak Amerika Syarikat, Aziz Ansari terpaksa melalui detik memalukan apabila kemenangan beliau pada malam Anugerah Emmy Ke-68 semalam, Ahad, seakan-akan tidak diraikan oleh akademi tersebut.
Menggondol trofi Penulisan Terbaik bagi kategori Komedi bersama Alan Yang untuk drama bersiri Parents di mana kedua-duanya berganding bahu sebagai penulis bersama untuk salah satu episod yang berdasarkan kisah ibu bapa mereka sendiri, ucapan penghargaan Aziz terpaksa dipotong kerana kekurangan masa!
Semasa menerima anugerah tersebut, Alan memberikan ucapan dahulu. Namun, Alan dan Aziz tidak membahagikan masa di atas pentas sewajarnya di antara mereka berdua, menyebabkan Aziz tidak sempat untuk menyampaikan ucapannya.
Mungkin termalu dengan keadaan itu, Aziz bertindak untuk terus ‘memecut’ turun pentas tanpa sebarang pesan, seperti yang ditunjukkan di dalam klip .gif yang disiarkan di dalam Twitter @vanityfair ini:
.@AzizAnsari accepts his first #Emmy by running off the stage https://t.co/NwK2oYQpmm pic.twitter.com/jhHf7BDzsl
— VANITY FAIR (@VanityFair) September 19, 2016
Bagaimanapun, Aziz cuba untuk kembali naik ke atas pentas, namun segalanya sudah terlambat dan beliau ‘pasrah’ kerana tidak berpeluang untuk menyampaikan ucapan penghargaannya.
Sementara itu, netizen berang kerana Aziz tidak diberi kesempatan untuk berucap di atas kemenangannya malam itu:
Kata @ScottFeinberg: “Ini adalah detik yang buruk untuk Anugerah Emmy. Bagaimana pula mereka tidak benarkan Aziz Ansari peluang untuk berucap?”
Seorang lagi pengguna Twitter, @AndreaMandell turut meluahkan rasa kecewanya:Â
“Mereka tidak berikan peluang kepada Aziz! Beliau telah berlari kembali ke atas pentas untuk berucap tetapi mikrofonnya telah ditutup”, manakala @DMJreports berpendapat konduktor majlis itu,“Sengaja menutup mikrofon Aziz supaya dia tidak berpulang untuk berucap” dan  perlu “dibuang kerja, dengan serta merta.”
Walaupun Aziz tidak berpeluang untuk berucap, namun Alan telah menekankan isu representasi kaum Asia-Amerika di Hollywood dalam teks ucapannya yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Dalam ucapan itu, Alan berkata terdapat 17 juta orang daripada etnik Asia-Amerika yang tinggal di AS, dan juga 17 juta orang Itali-Amerika.
“Mereka diwakili oleh ‘The Godfather’. ‘Rocky’, ‘Goodfellas, ‘The Sopranos’…Dan kami (golongan Asia-Amerika) cuma ada Long Duk Dong,” katanya, merujuk kepada watak stereotipikal daripada filem Sixteen Candles.
“Ibu bapa Asia, jika segelintir daripada anda memberikan anak-anak anda kamera dan bukan biola, mungkin segalanya akan jadi lebih baik untuk kami,” jelas Alan.
Kedua-dua Aziz dan Alan merupakan generasi kedua pendatang asing ke negara Uncle Sam itu yang menjadi warganegara tetap, selain membesar dan menerima pendidikan di sana.
Oleh itu, kemenangan mereka malam itu mencatat sejarah kerana berjaya membuktikan bahawa kaum minoriti juga boleh berjaya jika diberi peluang yang sama dengan bangsa lain di Amerika Syarikat.-MYNEWSHUB.CC