KUALA LUMPUR –  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini menegaskan keutamaan yang perlu diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam isu ‘pendrive’ yang diserahkan beliau untuk siasatan.
Katanya, yang perlu diutamakan ialah pendedahan isi kandungan pendrive atau pemacu pena itu berbanding mencari individu yang membocorkannya.
“Sudah pastinya yang penting adalah isi kandungannya, dari segi keutamaan saya percaya peminat bola sepak tidak mahu dengar siapa yang membocorkan maklumat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis Forum Kyoto-ASEAN 2016 di sini.
Pada 1 Sept lalu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa badan induk bola sepak itu sedang menyiasat individu yang menyerahkan pemacu pena kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikannya pula kepada Khairy.
Sebelum ini, Khairy berkata isi kandungan dalam pemacu pena yang diserahkan Tunku Ismail tidak menemui bukti penyelewengan ataupun ketirisan dalam FAM.
Menurutnya kandungan pemacu pena itu adalah dokumen teknikal mengenai bola sepak Malaysia. Pada Isnin lepas, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa kandungan pemacu pena itu tidak
mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009. -BERNAMA