KOTA KINABALU – Klip video yang menayangkan seorang murid sebuah sekolah agama dibelasah rakannya di Putatan dekat sini sedang disiasat, kata Ketua Polis Daerah Penampang DSP Rosley Hobden hari ini.
Beliau berkata klip video berdurasi 28 saat itu yang telah diviralkan di media sosial sejak semalam, dipercayai diambil ketika kejadian pada 30 Ogos lepas.
“Bapa mangsa membuat laporan polis pagi tadi dan satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
“Kita sudah mengambil keterangan mangsa buli, pelaku dan murid-murid yang menyaksikan kejadian itu,” katanya.
Klip video terbabit yang dirakam menerusi telefon bimbit, menunjukkan aksi seorang murid lelaki lengkap berseragam sekolah agama membelasah mangsa di dalam sebuah bilik darjah.
Menurut Rosley, tindakan lanjut akan diambil selepas mangsa dan pelaku, yang masing-masing berumur 12 tahun itu, selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sedang dijalankan.
Beliau juga berkata mangsa telah mendapat rawatan di hospital dan dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.
Ketika dihubungi, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun mengesahkan kejadian itu.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati mangsa tidak berada di rumahnya sejak pagi tadi.
Seorang anggota keluarga yang ditemui juga berkata bapa mangsa belum pulang ke rumah sejak membuat laporan polis kira-kira pukul 9 pagi tadi. – BERNAMA