TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Perak merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM1 juta dalam operasi sejak 1 Januari hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Samsuddin Abu Hassan berkata nilai rampasan itu meningkat berbanding RM655,345 yang direkodkan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2015.
“Ini menunjukkan anggota penguatkuasa telah melakukan tindakan dengan mengadakan tinjauan, seterusnya mengeluarkan notis terhadap pemilik premis yang melanggar pelbagai kesalahan dan peraturan ditetapkan.
“Ia juga merupakan kesedaran masyarakat yang melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat peniaga atau pemilik premis yang melanggar peraturan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan dan pemeriksaan harga barangan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Katanya sepanjang tempoh operasi tahun ini, 29,371 premis diperiksa dan sebanyak 808 kes direkodkan di bawah pelbagai akta yang dikuatkuasakan oleh Bahagian Penguatkuasa kementerian.
Menurut Samsuddin pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 mencatat jumlah kes terbanyak iaitu 328 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM70,317 dan kompaun sebanyak RM48,575.
“Kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 adalah sebanyak 279 kes dengan nilai rampasan bernilai RM272,405 dan jumlah kompaun sebanyak RM57,180.
“Antara kesalahan tertinggi ialah tindakan peniaga tong gas menjalankan aktiviti memindahkan gas petroleum cecair (LPG) domestik bersubsidi iaitu 12 dan 14 kilogram kepada tong untuk kegunaan industri 50 kilogram,” katanya. – BERNAMA