MALANG tidak berbau. Itulah yang berlaku kepada seorang kanak-kanak lelaki apabila tangannya patah ketika sedang leka bermain di sebuah surau di Putrajaya, baru-baru ini.
Difahamkan, dalam kejadian itu, kanak-kanak lelaki yang berpakaian sukan sekolah terjatuh ketika mahu melompat beranda di surau berkenaan.
Akibat salah jangkaan, kanak-kanak yang dipercayai berusia 10tahun itu terjatuh dan menyebabkan tangan kanannya patah dan terkehel.
Gambar kanak-kanak itu dikongsikan Daily Traffic Report dalam laman Facebook semalam yang mendakwa kanak-kanak berkenaan dari Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah.
Dalam gambar berkenaan, kanak-kanak itu sedang dirawat anggota paramedik dan difahamkan di bawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Keadaan tangan kanak-kanak itu sangat mengerikan dan netizen turut berkongsi kesedihan dan simpati mereka dengan kejadian itu.
Laporan awal mendedahkan, kanak-kanak malang itu ditolak rakannya dari belakang hingga jatuh, namun pemerhatian Mynewshub mendapati dakwaan tersebut tidak benar.
Ini susulan komen daripada individu yang dikenali sebagai Mohd Khairul Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berlaku di Putrajaya dan tiada unsur ditolak rakan hingga mendatangkan kecederaan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku Jumaat lalu ketika dia sedang menunggu bapanya yang bekerja sebagai penjawat awam mengambilnya untuk pulang ke rumah.
“Masa lompat dia terjatuh ke belakang, tak ada orang tolak pun. Kejadian berlaku Jumaat lalu masa tengah tunggu ayah dia datang ambil,” katanya yang dipetik dari akaun Facebook. – MYNEWSHUB.CC