KOTA SAMARAHAN – Ismandi Osman, 38, yang dilaporkan hilang ketika memeriksa pukat di tebing sungai Kampung Pinang, di sini semalam dipercayai dibaham buaya.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Ahmad Shah Saad berkata kesimpulan itu dibuat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diadakan hari ini menemukan kesan pergelutan di tebing sungai tempat mangsa memeriksa pukatnya.
Katanya berdasarkan maklumat penduduk kampung, sungai itu sememangnya habitat buaya, dan kali terakhir serangan buaya berlaku di sungai tersebut kira-kira setahun yang lalu.
“Operasi SAR hari ini melibatkan 40 orang terdiri dari anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis serta penduduk kampung menggunakan lapan buah bot. Pencarian dilakukan dalam radius dua hingga tiga kilometer dari lokasi mangsa hilang.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mangsa memeriksa pukat, anggota SAR menemukan kesan pergelutan,” katanya ketika ditemui wartawan Bernama yang mengikuti operasi SAR di sungai berkenaan.
Ahmad Shah berkata sepanjang operasi SAR hari ini, pasukan operasi turut terserempak dengan lebih 10 ekor buaya malahan sebuah bot bomba telah terlanggar buaya sebanyak dua kali ketika operasi diadakan.
Ini merupakan kes kedua serangan buaya dalam tempoh enam hari, Isnin lepas seorang lelaki Sylvester Kilat Lee, 19, terjatuh di Jambatan Kampung Baru kira-kira tujuh kilometer dari sungai di Kampung Pinang.
Mayat Sylvester Kilat ditemukan hanya tinggal separuh badan daripada pinggang ke kaki pada Rabu kira-kira dua kilometer dari lokasi Ismandi hilang.
Semalam Ismandi yang berasal dari kampung itu dikatakan keluar seorang diri ke sungai itu kira-kira pukul 10 pagi, namun sehingga 8 malam tadi masih tidak pulang menyebabkan ibunya bertindak melaporkan kehilangannya.
Keluarga mangsa memaklumkan perkara itu kepada ketua kampung dan satu gerakan mencari mangsa telah dilakukan penduduk kampung tersebut.
Penduduk kampung menemukan bot mangsa sejauh satu kilometer dari tempat dia memasang pukat dan barang keperluan mangsa seperti parang, botol air, rokok dan enjin bot berada dalam keadaan baik. – BERNAMA