KUALA TERENGGANU – Seramai hampir 1,500 orang membanjiri Kampung Losong Dato Amar, di sini, bagi menyaksikan proses penyembelihan lembu baka Charolais seberat satu tan, hari ini.
Program sempenan sambutan Hari Raya Aidiladha itu memperlihatkan orang ramai yang membabitkan penduduk setempat dan pengunjung dari luar dilihat mula membanjiri tapak penyembelihan itu seawal jam 8 pagi.
Pengerusi Badan Ukhwah Darul Iman (BUDI), Zulfadli Hassan, berkata pihaknya menganggap ia sesuatu yang luar biasa apabila melihat orang ramai berpusu-pusu mahu menyaksikan ibadat korban itu dijalankan.
Katanya, sejak 10 tahun penubuhan BUDI ,yang aktif menjalankan kerja sukarela di kampung berkenaan, inilah kali pertama orang ramai begitu teruja menyaksikan proses itu dijalankan.
“Alhamdulillah, proses penyembelihan lembu Charolais berusia tiga tahun itu selamat dijalankan tanpa sebarang masalah kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.
“Setelah itu, gotong-royong untuk pembahagian daging lembu dijalankan sebelum ia diagihkan kepada penduduk sekitar kampung ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penyembelihan itu siap dijalankan, di sini.
Difahamkan, daging lembu baka berasal dari Perancis yang seberat satu tan itu mampu diagihkan kepada kira-kira 2,000 penduduk di kawasan ini. – BHarian Online