PENGENDALI perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid KL, memohon maaf kepada semua penumpang yang terpaksa berdepan ganguan dan kelewatan jadual perjalanan di sepanjang laluan Kelana Jaya pagi ini.
Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya, Ismail Abdullah berkata, beberapa stesen terpaksa menghadapi kelewatan berikutan daripada gangguan bekalan elektrik dari Stesen Masjid Jamek ke Ampang Park.
“Kami mengalami gangguan pada sistem isyarat dan komunikasi di antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi dan terpaksa menutup laluan di beberapa stesen di pusat bandar raya bagi menangani situasi itu,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Facebook.
Tambah Ismail, pihaknya menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dari stesen Sri Rampai ke pusat bandar dan ke beberapa destinasi di KLCC, bagi memudahkan para pengguna yang terkandas ekoran daripada insiden tersebut.
Rapid Rail juga memberi jaminan pengguna yang sudah membeli tiket atau dikenakan bayaran boleh mendapatkan wang mereka kembali di semua pejabat khidmat pelanggannya.
Beribu-ribu penumpang terkandas di beberapa stesen LRT di Kuala Lumpur pagi tadi berikutan gangguan elektrik.
Disebabkan masalah itu, para pengguna terpaksa bersesak di stesen Masjid Jamek pada pagi ini sehingga kerja-kerja pembaikan dilaksanakan. -MYNEWSHUB.CC