RABAT – Kerajaan Maghribi berkata hari ini ia berjaya mematahkan satu ‘sel pengganas’ dikaitkan dengan militan Daesh yang dipercayai pihak berkuasa merancang serangan di utara negara itu.
Kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri berkata, tiga suspek ditahan polis di bandar utara Oujda, Casablanca dan Fez.
Kenyataan itu berkata, penahanan suspek ‘mendedahkan beberapa projek pengganas dalam peringkat persediaan lanjutan.’ Ia menambah, anggota sel itu dikaitkan dengan penyokong Daesh yang ‘aktif di Syria dan Iraq.’
Kementerian berkata, ketiga-tiga suspek merancang untuk menyerang ‘tapak sensitif dan penting’ di beberapa negara.
“Ketua sel menyewa sebuah rumah persembunyian berhampiran bandar Oujda yang dikhususkan untuk penginapan dan persediaan serta mengeluarkan bahan letupan kawalan jauh,” kenyataan menambah.
Serbuan ke atas kediaman itu mendedahkan bahan kimia yang dikatakan kementerian mungkin digunakan untuk membuat bom.
Kerajaan berkata, lebih 150 ‘sel pengganas’ diserbu sejak 2002, termasuk berpuluh sejak tiga tahun lalu yang ada kaitan dengan pelampau di Iraq dan Syria.
Kajian oleh Soufan Group berpusat di Amerika Syarikat berkata, Disember lalu, sekurang-kurangnya 1,200 rakyat Maghribi berkunjung ke Iraq dan Syria sejak 18 bulan lalu untuk berjihad di samping Daesh. – AFP/BH ONLINE