KUANTAN – Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang yang mempunyai lebih 30,000 anggota di negeri ini, memohon supaya Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob mempertimbangkan semula hasrat tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Presidennya Datuk Khairul Amin Osman berkata sokongan supaya Adnan terus berkhidmat sebagai Menteri Besar adalah kerana mereka masih memerlukan bimbingan, nasihat dan teguran daripada Adnan selaku penaung MBN Pahang.
“Sebagai individu yang berpengalaman luas, kita masih memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan beliau dalam menjalankan aktiviti berkaitan belia supaya golongan belia di negeri ini mendapat perhatian dan tumpuan sewajarnya. an
Walaubagaimanapun, kami menghormati apa sahaja pendirian dan keputusan beliau, meskipun kami akui amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa disangka-sangka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Khairul Amin menambah isu pertukaran kepimpinan perlu diteliti dan diperhalusi sebaik-baiknya.
“Beliau bukan sahaja berpengalaman, namun mempunyai kemahiran untuk berinteraksi dengan pelbagai golongan masyarakat. Malah beliau tidak mempunyai masalah yang boleh menghalangnya daripada terus berkhidmat,” katanya.
Pada 9 Sept lalu, semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh, Adnan menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang selepas memegang jawatan sebagai menteri besar selama 18 tahun.
Adnan yang telah 30 tahun menjadi wakil rakyat bagaimanapun tidak mahu isu itu diperbesarkan dan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. – BERNAMA