KUALA LUMPUR – Malaysia berusaha untuk mengubah persepsi negatif dan pandangan yang tidak benar mengenai minyak sawit di Perancis.
Duta Malaysia ke Perancis, Datuk Ibrahim Abdullah berkata kejayaan mendapat penerimaan pengguna mengenai minyak sawit akan bermakna mesej daripada ahli politik perlu disesuaikan dengan sewajarnya.
Dalam artikel yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Paris, Ibrahim berkata penglibatan secara terbuka, mesra dan jangka panjang dengan ahli politik Perancis, para pegawai dan akar umbi, Malaysia berharap perbincangan itu dapat diseimbangkan semula.
“Walaupun penglibatan dengan ahli politik dan para pegawai penting, penekanan juga perlu diberi untuk memenangi hati dan pemikiran pengguna.
“Memandangkan ahli politik sering dijangka mewakili pilihan pengundi mereka, mereka (ahli politik) akan mengubah mesej mereka untuk menarik pengundi,” katanya.
Ibrahim berkata sebagai persiapan untuk cabaran akan datang, penting bagi semua agensi Malaysia untuk meneruskan kerjasama sedia ada supaya kebenaran mengenai industri minyak sawit di Malaysia dapat diperjuangkan.
“Mengenai masa depan, semua peluang bagi Malaysia untuk menyatakan kedudukan kita mengenai minyak sawit dan kepentingan isu itu kepada kita, perlu diteroka.
“Membina momentum positif yang kita dapat jana, penting untuk mempertimbangkan bagi melihat kepada platform seperti kempen kesedaran awam untuk mencapai dan memberi pendedahan kepada pengguna semua peringkat umur mengenai kesan positif daripada minyak sawit dari segi sosial, alam sekitar dan kesihatan,” katanya.
Dalam program capaian, Ibrahim berkata penting untuk meneruskan pendekatan yang menarik pengguna muda yang bersedia untuk memberikan pendapat mereka mengenai manfaat minyak sawit. Ibrahim berkata Malaysia juga komited dengan inisiatif dan matlamat pembangunan yang mampan selaras dengan komitmennya sebagai warga global.
“Sering terlepas pandang, definasi mampan perlu merangkumi bahagian masyarakat yang mudah terjejas,” katanya. Dengan jangkaan kemungkinan cukai minyak sawit dikaji semula dalam Rang Undang-Undang Kewangan yang akan datang oleh kerajaan Perancis, Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong, tiba di Paris pada Selasa untuk lawatan selama tiga hari.
Ibrahim berkata dalam siri mesyuarat yang telah diatur, Mah berhasrat untuk memberikan perkembangan terkini mengenai industri minyak sawit Malaysia, selain mendapatkan sokongan dan pengiktirafan bagi kemajuan yang dicapai.
“Serangan ke atas reputasi minyak sawit belum ditangani dan kami pada peringkat misi, bekerjasama dengan menteri dan agensi berkaitan, akan sentiasa berhati-hati dalam memastikan cukai ke atas minyak sawit tidak akan menjadi kenyataan kerana ia boleh menjadi permulaan kepada langkah yang membawa kepada kesan negatif apabila ia tersebar ke negara anggota EU (Kesatuan Eropah) yang lain.
“Menjadi keutamaan kerajaan untuk terus memantau perkembangan di Eropah berkaitan dengan penguatkuasaan cukai ke atas komoditi kita yang boleh memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB.CC