PETALING JAYA – Kumpulan terakhir Malaysian Battalion 850-3 (MALBATT 850-3) tiba di tanah air hari ini selepas menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan.
Ketibaan kumpulan keempat itu di Balai Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Tentera Udara Malaysia (TUDM) Subang dekat sini disambut Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad.
Kumpulan itu terdiri daripada 24 pegawai dan 186 anggota Lain-lain Pangkat (LPP) termasuk seorang pegawai dan lima anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Kontinjen Malbatt 850-3 yang keseluruhannya dianggotai 850 anggota, memulakan misi United Nation Interim Force In Lebonan (UNIFIL) pada 15 Sept tahun lepas dan menamatkan perkhidmatan 12 bulan sepenuhnya di Lubnan pada 16 Sept lepas.
Kumpulan pertama, kedua dan ketiga pulang ke tanah air masing-masing pada 7, 15 dan 21 Sept lepas.
Penerbangan yang membawa mereka dijadualkan tiba pada 4.20 petang namun berikutan keadaan cuaca, pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 7.20 malam.
Sementara itu, Komander Malbatt 850-3 Kolonel Reizal Arif Ismail melahirkan penghargaan kepada pasukannya kerana berjaya mengekalkan legasi kecemerlangan pasukan pengaman di negara itu.
“Sepanjang penugasan ini, kita berjaya merapatkan diri dengan Lubnan. Kita tidak pernah merasai kekacauan dari rakyat di sana,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kepulangan kumpulan itu.
Mengenai cabaran di sana, Reizal berkata pasukannya perlu berdepan keadaan cuaca dan bentuk muka bumi berbeza sepanjang misi itu.
“Kita datang dari negara tropika, perlu beroperasi di tempat yang bermusim dengan muka bumi berbukit bukau. Namun, kita dapat laksanakan misi pengaman itu dengan jayanya,” katanya sambil memberitahu bahawa tiada anggota Malbatt 850-3 yang meninggal dunia semasa berkhidmat di Lubnan.
Mengenai keadaan aset tentera di sana, Reizal berkata aset berada dalam keadaan baik dan berjaya diserahkan kepada kumpulan Malbatt 850-4.
“Pihak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memeriksa aset tentera setiap tiga bulan bagi memastikan ia berada keadaan baik,” katanya.
Perbarisan pembubaran Malbatt 850-3 dijangka diadakan di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu ini.
Sementara itu, Koperal Sangeetha Wansanderkumaran, 28, berkata beliau teruja menyambut kepulangan suaminya Koperal Marcos Buan, 28, yang menganggotai kumpulan itu.
“Semasa suami menyertai misi ini pada awal September tahun lepas, saya sedang sarat mengandung anak kedua dan bersalin pada hujung bulan berkenaan.
Namun, suami saya dibenarkan bercuti di tanah air selama tiga minggu pada Januari lepas,” katanya kepada Bernama.
Menurut ibu dua cahaya mata perempuan itu, suaminya yang berkhidmat di Kem Batu 10, Kuantan, juga kerap menghubunginya melalui e-mel dan WhatsApp sepanjang bertugas di Lubnan.
Sangeetha, yang berkahwin dengan Marcos, yang berbangsa Iban, sejak lima tahun lepas dan bertugas di kem sama, turut menyuarakan keinginannya menyertai kumpulan Malbatt pada masa akan datang sekiranya diberi peluang. – BERNAMA