BAGAN SERAI – Sebuah keluarga yang kerugian lebih RM250,000 selepas rumah mereka di Kampung Parit Sulaiman, Sungai Bogak dekat sini terbakar semalam, hari ini mendapat khabar gembira iaitu menerima bantuan RM10,000 bagi membina rumah baharu.
Bantuan itu diumumkan Anggota Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali ketika mengunjungi keluarga itu hari ini. Pemilik rumah berkenaan, Awangku Farid Ali seorang guru Kelas Agama Islam dan Fardu Ain (Kafa) berkata semasa kejadian pada 6.30 petang semalam, beliau berada di pasar awam Bagan Serai untuk membantu ayah mertuanya berniaga.
“Saya bersyukur kerana ibu, isteri dan anak saya sempat menyelamatkan diri, tetapi sedih kerana banyak dokumen tidak dapat diselamatkan dan sebuah motosikal turut terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Noor Azmi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bagan Serai turut meminta penduduk setempat supaya menyediakan alat pemadam api sebagai langkah pencegahan awal jika berlaku kebakaran.
“Ini penting sementara menunggu anggota bomba sampai dan seterusnya mengelak kehilangan nyawa,” katanya.- BERNAMA