BENGANG kerana dikatakan menghidap anorexia iaitu keadaan di mana seseorang itu membiarkan diri mereka berlapar, seorang model remaja Rusia telah memuat naik gambar dia makan burger, bertujuan meyakinkan ramai bahawa dia sihat.
Alesya Kafelnikova, 18, sebelum ini mencetuskan kontroversi di Moscow susulan keadaan badannya yang sangat kurus.
Malah bapanya, bekas pemain tenis Yevgeny Kafelnikov, turut mengeluarkan kenyataan bahawa anaknya mengalami anorexia.
Alesya yang bakal terlibat dalam minggu fesyen di London terpaksa menafikan dakwaan berkenaan sekali gus menolak tanggapan bahawa dia sakit.
“Berat saya kini 49-50 kilogram dan saya memberikan tumpuan penuh kepada karier saya. Saya juga berkhidmat dengan agensi yang terbaik di dunia.
“Sebab itu saya tidak boleh menyekat diri saya daripada memberikan tumpuan kepada makanan serta pembangunan kerjaya saya,’’ katanya.
Alesya, baru berhijrah ke Britain dari Paris semata-mata untuk mengembangkan kariernya dengan agensi modelling Elite.
“Berat badan saya itu membolehkan saya berkerja di Eropah. Jika wartawan menyedari akan peraturan yang ditetapkan (berat badan) dalam industri modelling maka mereka tidak akan menulisnya (anorexia).”
Ibu Aleysa sendiri seorang model dikenali sebagai Masha Tishkova. Wanita itu bercerai dengan bapanya pada 2001 selepas hanya tiga tahun berkahwin.
Marsha dikatakan terpaksa mengorbankan kerjaya modelingnya disebabkan desakan daripada suaminya. – Agensi/Mynewshub.cc