BATU GAJAH – Seorang lelaki maut ditembak di ruang tamu rumahnya di Kampung Baru Chenderong, di sini kira-kira 6.30 pagi tadi.
Mangsa seorang pemandu lori berusia 34 tahun meninggal dunia akibat ditembak di kepala dengan dua das tembakan.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 8 pagi.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi kejadian adalah rumah teres setingkat dan mangsa ditemui di ruang tamu rumah dalam keadaan cedera di kepala oleh isterinya yang baru pulang menghantar anak mereka ke sekolah berhampiran.
“Mangsa tinggal bersama isteri dan tiga orang anak perempuan berusia antara 5 hingga 9 tahun. Semasa kejadian isteri mangsa menghantar anak ke sekolah. Dalam perjalanan balik, isteri mangsa terdengar bunyi yang kuat seolah-seolah bunyi mercun.
“Isteri mangsa sampai di rumah, dapati mangsa terbaring kaku diruang tamu dan cedera di kepala. Mangsa berada diatas sofa dengan cedera di kepala dari mata kasar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan menemui dua kelonsong peluru berada berdekatan mangsa yang jaraknya lebih kurang dua meter.
Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – myMetro Online