SHAH ALAM – Warga India yang hilang Rabu lepas apabila bot dinaikinya terbalik dijumpai mati di kawasan perairan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, hari ini.
Mayat Zorawar Singh, 20, yang hilang berhampiran jeti Pelabuhan Klang, ditemui terapung di hadapan Jeti Boustead Cruise Centre pada pukul 9.30 pagi.
Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang Asisten Supritendan Mohd Rohaizad Mohd Nasir berkata: “Mayat mangsa dijumpai pada kedudukan tiga batu nautika dari lokasi kejadian bot terbalik.
“Mangsa kemudian dibawa ke jeti PPM Pelabuhan Klang dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat Selangor dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang Rabu lepas, pemandu bot warga tempatan Tan Bun Hiang, 47, lemas dan Zorawar Singh hilang manakala empat lagi lelaki warga India diselamatkan.
Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 47 tahun merupakan anak kapal MV Linau 6 yang sedang berlabuh di jeti Pelabuhan Klang dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Bot dipercayai terbalik kerana dipukul ombak besar berikutan kapal besar sedang melalui lokasi berkenaan dalam keadaan arus yang agak deras. – BERNAMA