KUALA LUMPUR – Melaka United mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini, walaupun seri 1-1 berdepan pasukan tangga ketiga liga, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.
Keputusan seri itu menyaksikan Melaka United meraih 49 mata, berkelebihan tujuh mata ke atas pencabar terdekat, PKNS FC dengan baki dua perlawanan.
Kejayaan tersebut menyaksikan Melaka United kendalian Mat Zan Mat Aris layak ke saingan Liga Super, musim depan.
Pada aksi malam tadi, pasukan tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-75 untuk memecah kebuntuan menerusi penyerang, Yashir Pinto Islame sebelum JDT II menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain pertahanan, Rafael De Jesus Bonfim pada minit ke-90.
Pengurus pasukan Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang ditemui pemberita selepas perlawanan itu, bangga dengan kejayaan tersebut sekali gus merealisasikan impian pasukan berkenaan beraksi dalam Liga Super, musim depan.
“Ini sesuatu yang dinantikan semua peminat Melaka United, kita berjaya menjulang piala Liga Perdana malam ini, sekali gus merealisasikan impian semua termasuk presiden kita (Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Menteri Melaka),” kata Mohd Yusoff.
Dalam pada itu, PKNS FC turut mengutip tiga mata penuh setelah menang tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh hasil jaringan Matias Hadwa pada minit ke-33.
Negeri Sembilan kembali meraih kemenangan setelah menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Pasukan pelawat mendahului 2-0 pada babak pertama perlawanan menerusi Goran Jerkovic pada minit ke-28 dan Alex Smith (minit ke-38), sebelum Naim Nazmi Zainuddin mengurangkan defisit jaringan untuk pasukan Kuala Lumpur pada minit ke-73.
Turut meraih tiga mata penuh adalah Perlis selepas menang tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot, Sime Darby FC di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Dua gol skuad Singa Utara dijaringkan Mohd Afif Amiruddin pada minit kesembilan dan Charles Chad Souza pada minit ke-81, manakala gol tunggal pasukan pelawat menerusi Obiikechukwu Charles pada minit ke-70.
Sementara itu, dua lagi perlawanan melibatkan pertemuan DRB-Hicom FC dan Sabah di Stadium Proton, Tanjung Malim, dan aksi Kuantan FA dan UiTM FC di Stadium Darul Makmur, masing-masing berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan 1-1.- BERNAMA