ADALAH sesuatu yang merugikan jika terlepas peluang untuk menghadiri Festival Wanita Muda yang bakal berlangsung di Dewan Tun Razak 1, PWTC bermula jam 8 pagi hingga 5 petang (24 September).
Meskipun festival ini anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, aturcara yang dirancang mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khasnya kaum wanita tanpa mengira pegangan politik.

Pengerusi Festival tersebut Fahariyah Md Nordin berkata, festival berkenaan diadakan khas bagi mensasarkan perhimpunan lebih 10,000 wanita muda berbilang bangsa dan agama dari seluruh Malaysia bagi meneroka potensi diri serta peranan masing-masing dalam mencorakkan kemajuan negara.
Antara aktiviti menarik yang telah dirangka ialah forum dan perbincangan berkonsepkan ‘town hall’ mengenai pelbagai topik, antaranya A Walk With Champions, Social Wizards, Nation of Champions, Persembahan Seni Muzik dan Talk Shaw.
Selain itu, mereka yang sedang mengintai peluang kerjaya turut dipelawa datang dengan membawa resume, begitu juga mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran, mahu mendaftar perumahan PR1MA serta mendapatkan info lanjut berkaitan hak wanita dan kanak-kanak.
Pengunjung juga bakal disajikan dengan persembahan daripada pemuzik jalanan dan selebriti tanah air selain boleh menjamu mata dan membeli belah di gerai jualan dan pameran yang dibuka.
Festival yang kini bertebaran infonya di laman Facebook, Twitter dan Instagram di bawah hashtag #festivalwanitamuda bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. – MYNEWSHUB.CC