KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta Rapid Rail Sdn. Bhd. memberi penjelasan mengenai gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) membabitkan laluan Setiawangsa-KLCC hari ini.
Beliau menganggap insiden kali kedua dalam tempoh seminggu itu sebagai agak membimbangkan.
“@MyRapidKL should explain LRT breakdown this morning. Concerned about recent disruptions. Two breakdowns in a week is very worrying,” katanya dalam catatan Twitter beliau hari ini.
Insiden itu berlaku pada waktu puncak 9 pagi tadi apabila sebuah tren dari Datuk Keramat menuju ke Jelatek tiba-tiba terhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai, menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit.
Baca: Apa Nak Jadi? Perkhidmatan LRT Tergendala Lagi
Lagi: Perkhidmatan LRT Kelana Jaya Terganggu Seketika
Juga: LRT Tergendala, Rapid KL Mohon Maaf
Semua penumpang kemudian diarahkan keluar dan berjalan di atas trek menuju ke Stesen Damai, yang mengambil masa hampir 10 minit.
Menurut akaun Twitter Rapid KL, servis bagi kedua-dua perjalanan itu pulih semula kira-kira 11.45 pagi.
Pada Rabu lepas, ribuan pengguna perkhidmatan LRT terkandas berikutan masalah teknikal yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan dari laluan Gombak hingga Putra Heights terjejas bermula 7 pagi.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari sama meminta Rapid Rail Sdn. Bhd. mengemukakan laporan penuh mengenai gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya itu selewat-lewatnya pada 21 September ini. – BERNAMA