WALAUPUN tidak memberikan sebarang pengakuan secara langsung, namun dari kenyataan pelakon Mia Ahmad ini seolah-olah mengiakan dirinya kini sedang dilamun cinta dengan penjaga gawang pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi Roslan.
Meskipun Mia; 28, tiga tahun lebih tua daripada jejaka tersebut, namun hal itu sama sekali tidak menjadi masalah buat aktres yang popular menerusi drama bersiri Hati Perempuan itu.
Menurut Mia, dia tertarik dengan sikap jejaka itu yang cukup menyenangkan hatinya selain Izham seorang yang amat memahami kerjaya seninya.
“Dia (Izham) memang lelaki yang paling rapat dalam hidup setakat ini. Sebenarnya saya tidak begitu memilih, cukuplah jika memahami kerjaya dan setakat ini dia cukup menyenangkan.
“Belum ada perbincangan untuk mendirikan rumah tangga, tambahan pula karier masih di peringkat permulaan kerana saya bermula agak lambat dalam bidang ini. Justeru, saya perlu memastikan segala-galanya telah stabil sebelum boleh memikirkan soal itu,” katanya dipetik sebuah akhbar tempatan.
Menurut Mia, dia dan Izham sering keluar beramai-ramai dengan kawan-kawan bagi mengelak syak wasangka masyarakat.
Sebelum ini nama Mia sering kali dikaitkan mempunyai hubungan dengan hero gandingannya dalam Hati Perempuan, Saharul Ridzwan yang sudah pun menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan hati, Qaabila Deena Emir pada Jumaat lalu. – MYNEWSHUB.CC