KUALA LUMPUR – Pemenang pingat emas acara 100m T36 (cerebral palsy) Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi kecewa tidak dapat membantu menambah pungutan pingat selepas menamatkan saingan lompat jauh kategori yang sama di tempat keempat, pada Isnin.
“Kecewa sikit sebab tak boleh buat yang terbaik. Lompatan tak berapa bagus sebab teragak-agak dan silau. Kecewa tak dapat bantu tambah pingat untuk negara,” katanya dipetik dalam entri terbaru laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN).
Atlet berusia 29 tahun dari Padang Besar, Perlis itu bagaimanapun tetapberbangga kerana berjaya muncul penyumbang pingat emas pertama negara di pentas Sukan Paralimpik.
Pada acara yang berlangsung di Stadium Olimpik Rio, catatan terbaik Ridzuan dalam acara itu ialah 5.36 meter (m) yang dilakukan pada percubaan keempat.
Bagaimanapun catatan itu tidak dapat mengatasi rekod Sukan Para Asia miliknya iaitu 5.42m yang direkodkan di temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Sementara pencapaian terbaik tahun ini ialah 5.44m yang dilakukan pada temasya Sukan Paralimpiad Malaysia di Sarawak pada Ogos lepas.
Pingat emas acara itu dimenangi Brayden Davidson dari Australia dengan jarak 5.62m dan pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan jarak lompatan yang sama.
Kedua-dua mereka mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik selepas mengatasi rekod terdahulu iaitu 5.23m milik Roman Pavlyk pada edisi di London 2012.
Sementara itu Pavlyk terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada edisi kali ini dengan jarak 5.61m. – BERNAMA