KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Puteri UMNO menggalas tanggungjawab untuk menyakinkan generasi muda bahawa wadah perjuangan parti itu adalah yang terbaik untuk mereka dan negara.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata satu lagi tanggungjawab penting yang perlu digalas pergerakan itu ialah menyediakan wanita bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Saya selaku Presiden UMNO mahu supaya Puteri UMNO terus berjuang bersungguh-sungguh supaya generasi muda, wanita muda akan mengganggap bahawa wadah perjuangan yang paling baik untuk mereka dan negara adalah wadah perjuangan yang dipelopori oleh parti UMNO dan Barisan Nasional,”
“Maknanya, ini tugas Puteri…menyakinkan generasi muda agar faham mengapa wadah kita adalah terbaik, mengapa kita ada agenda pembangunan transformasi, kenapa belah sana hanya main politik kebencian, politik memburukkan orang lain, tetapi mereka tidak ketengahkan agenda mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Wanita Muda anjuran Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin. – BERNAMA