MARAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di perkarangan Stadium Tun Razak di sini hari ini untuk merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2016 peringkat kebangsaan.
Ketibaan Najib kira-kira jam 9.30 pagi disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.
Pada majlis itu, perdana menteri dijadual menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung Felda yang menawarkan hadiah berjumlah RM1 juta.
Najib juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Khidmat Bakti kepada 10 orang bekas peneroka yang telah berkhidmat cemerlang.
Anugerah lain yang akan disampaikan ialah Anugerah Masjid Contoh dan Tokoh Imam yang disenarai pendek daripada 263 masjid Felda atau masjid di bawah pentadbiran Felda.
Lebih 15,000 peneroka Felda dari seluruh negara hadir menyambut Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2016 kali ini. – BERNAMA