KUALA LUMPUR – Perniagaan Nasi Kandar Ayam Merah dari Ipoh, yang terkenal kerana menyediakan nasi ‘Vanggey’ atau ‘Nasi Ganja’, mempertimbangkan untuk membuka cawangan di Putrajaya.
Wakil perniagaan itu, Mohammed Nihmathullah Syed Mustafa, 49, berkata hasrat tersebut dinyatakan oleh ahli keluarganya baru-baru ini.
“Lokasi Putrajaya adalah menarik kerana ia sebuah bandar baharu yang terus berkembang dan ramai pelanggan setia kami yang mengunjungi satu-satunya restoran kami di Ipoh adalah dari sana.
“Rasa dan kualitinya dijamin sama seperti di kedai kami di Ipoh kerana kami akan menempatkan salah seorang cef kami di cawangan Putrajaya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual pada Rabu.
Mohammed Nihmathullah dihubungi Bernama susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebut mengenai perniagaannya semasa menyampaikan amanat Hari Kemerdekaan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Selasa.
Najib dalam ‘Amanat Merdeka 2016’ menyebut tiga bentuk perpaduan, daripada sukan, makanan hingga filem tempatan, yang dekat dengan masyarakat Malaysia.
Mengenai makanan, Najib mengetengahkan kisah kedai nasi ‘Vanggey’ di Ipoh apabila semua bangsa gemar menikmati nasi kandar itu dengan minuman disediakan oleh sebuah kopitiam Cina.
Ruang kecil yang diusahakan oleh peniaga berketurunan India Muslim, terletak di dalam Kedai Kopi Yong Suan di Jalan Yang Kalsom, telah mula berniaga nasi kandar itu selama 59 tahun sejak 1957, sebagai antara kisah yang melambangkan perpaduan.
Pemilik kedai itu menarik pelanggan dengan melaungkan “vanggey, vanggey, vanggey” dalam bahasa Tamil yang bermakna ‘sila datang’.
“Perkongsian premis berlaku sebaik selepas merdeka dan berterusan hingga ke hari ini dengan generasi ketiga pemilik asal bangunan itu, mendiang Ang Pang Piew,” katanya.
Hari ini, melihat orang beratur panjang di kedai itu merupakan pemandangan biasa pada waktu puncak.
Mohammad Nihmathullah berkata nasi ‘Vanggey’ pada masa ini hanya boleh didapati di Ipoh dan makanan kegemaran pelanggannya adalah ayam dan daging lembu masak merah dan kicap, dengan sambal kelapa, bersama hidangan lain seperti ikan, sotong, kambing dan sayur-sayuran.
“Resepinya adalah rahsia yang hanya cef sekarang dan waris kepada perniagaan yang tahu. Jika kami membuka cawangan baharu, salah seorang daripada mereka akan berkhidmat di Putrajaya,” katanya.
Mohammad Nihmathullah berkata perniagaan keluarga itu bermula pada tahun 1955 oleh moyang beliau, Kassim Mohammad, seorang yang berketurunan India Muslim. – BERNAMA