KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran dipenjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana merogol seorang remaja berusia 15 tahun, dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menaikkan hukuman penjara daripada tiga tahun kepada 12 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Awe Sahardi, 20.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi menambah hukuman penjara tiga tahun itu dan memerintahkan Awe menjalani hukuman itu bermula dari tarikh jatuh hukum pada 25 Februari 2016.
Awe dituduh melakukan perbuatan itu pada Februari 2014, 9 malam, di rumah mangsa di sini mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Mohamad Shariff dalam penghakiman berkata hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap responden (Awe) terlalu rendah dan berharap dia insaf dan bertaubat dengan kesalahan yang telah dilakukan.
“Sekiranya awak menganggap hukuman ini sebagai satu penghinaan maka awak tidak akan berubah tetapi sekiranya awak menganggap hukuman ini sebagai pengajaran maka awak boleh berubah. Awak duduklah dalam penjara itu dan berzikir,” katanya.
Mengikut fakta kes kejadian rogol itu disedari oleh pengadu iaitu abang mangsa selepas remaja itu mengadu sakit perut pada 6 November 2014 dan selepas pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur mendapati mangsa mengandung sembilan bulan dan ketika itu dia hendak bersalin.
Responden berjaya ditangkap pada 9 November 2014 dan hasil ujian sampel darah yang dilakukan mendapati responden adalah bapa kepada bayi perempuan yang dilahirkan mangsa.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz berhujah hukuman penjara yang dijatuhkan hakim Mahkamah Sesyen terlalu rendah dan hakim itu telah terkhilaf dalam keputusannya kerana mengambil kira kerelaan mangsa.
“Mangsa menjemput responden datang ke rumah, tetapi mangsa baru berusia 15 tahun iaitu usia yang terlalu muda dan tidak boleh berfikir secara matang dan mudah dipujuk,” katanya sambil menambah mangsa telah dirogol sebanyak tiga kali oleh Awe.
Awe yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara tiga tahun itu dengan alasan bahawa dia telah insaf dan ingin membantu keluarga. – BERNAMA