SUASANA di Batu Ferringhi dekat George Town, pada Isnin menjadi cemas apabila dua orang pelancong yang mahu mencuba sukan ekstrem, parasailing tersangkut pada pokok.
Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin kira-kira pukul 6.30 petang itu, pasangan dari Singapura itu tersangkut pada pokok pain pada ketinggian hampir 20 meter dari pantai peranginan popular di Pulau Pinang itu.
Berikutan kejadian tersebut, pengendali sukan ekstrem yang lazim dipanggil sebagai budak pantai atau beach boy terpaksa menggunakan traktor untuk menurunkan pasangan berkenaan.
Operasi penyelamat untuk menurunkan pasangan ini mengambil masa kira-kira 30 minit.
“Mereka tidak faham dengan arahan. Mereka tarik tali di sebelah kiri dan parasailing itu terbabas ke arah pokok sebaik sahaja mereka berada di udara,” kata budak pantai yang enggan didedahkan nama.
Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku ketika pasangan ini baru sahaja mahu berlepas.
Ini merupakan kejadian kali keempat berlaku pada tahun ini melibatkan sukan ini. – MYNEWSHUB.CC